Isnin, 16 Mac 2009

Dr Mujahid yakin menang besar di Bukit Gantang

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Isa Rawa berkata, beliau yakin parti itu akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang awal bulan depan.

“Saya sangat yakin pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menyebelahi calon Pas dengan majoriti sekurang-kurangnya 5,000 undi. Walaupun Pas hanya mampu memerintah Perak selama 10 bulan, tetapi pengundi sudah dapat menilai ketulusan dan keprihatinan kami terhadap rakyat.

“Masalah dalam kerajaan Pas di Perak berlaku apabila Barisan Nasional (BN) merampas kerajaan Perak dengan cara mem-belakangkan Perlembagaan dan rakyat tahu semua ini benar,” katanya.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong setelah penyandangnya, Roslan Shaharum daripada Pas meninggal dunia akibat serangan jantung Februari lalu.

Roslan memenangi kerusi tersebut dengan jumlah undi 20,015 menewaskan calon BN Abdul Azim Mohd Zabidi 18,449 undi.

Mujahid yang juga Pengerusi Biro Kelab Penyokong Pas Malaysia berkata, calon Pas akan mendapat 80 peratus undi daripada pengundi Cina dan India manakala 60 peratus pengundi Melayu di seluruh kawasan Parlimen Bukit Gantang.

“Saya cukup yakin dengan pengundi yang bukan beragama Islam di kawasan Bukit Gantang. Mereka akan terus menyokong calon Pas. Pengundi sudah tahu dan lihat bagai mana BN melakukan rampasan kuasa di Perak.

“Dari sini pengundi akan merasakan bahawa mereka harus membela PR dengan memberi undi mereka kepada Pas. Kami sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya ini dan kami akan mempertahankan Bukit Gantang,” katanya.

Ditanya mengenai strategi Pas sepanjang kempen lapan hari di kawasan itu, beliau berkata, parti itu akan menggunakan pendekatan membuat lawatan dari rumah ke rumah, kerja-kerja kebajikan dan ceramah umum besar yang disertai penceramah panel terdiri daripada ahli tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, isu yang akan diketengahkan sepanjang berkempen di Bukit Gantang adalah PPSMI dan kegawatan ekonomi.

Tiada ulasan: