Ahad, 22 Mac 2009

Dr Mahathir tetap pilih Muhyiddin

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap konsisten memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang paling layak menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang seterusnya.

"Ya, saya menyokongnya. Saya percaya beliau mampu melakukannya," katanya dalam satu temubual dengan The Star baru-baru ini.

Dr Mahathir sememangnya tidak pernah berselindung dalam menyatakan sokongannya kepada Muhyiddin yang kini menjawat jawatan Naib Presiden Umno dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dr Mahathir sebelum ini pernah muncul bersama-sama Muhyiddin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu majlis makan malam dan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, beliau buat pertama kalinya pergi ke majlis rumah terbuka yang diadakan Muhyiddin.

Bagaimanapun, penyokong-penyokong kepada seorang lagi calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib tidak berpuas hati dengan perkara itu dan berkata, pilihan sepatutnya terserah kepada perwakilan.

Selain itu kata mereka, pilihan Dr Mahathir untuk orang nombor dua seringkali gagal dan hal itu diakui sendiri oleh Dr Mahathir yang memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Saya memang tidak bagus dalam memilih pemimpin," katanya.

Daripada empat timbalannya sebelum ini, hanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akhirnya menggantikan beliau.

Bagaimanapun, Abdullah kini turut dikritik oleh beliau dan akan melepaskan jawatan Perdana Menteri lebih awal daripada yang sepatutnya.

"Kita tidak boleh baca hati orang. Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya tidak mahu keluarga saya turut terlibat malah tidak membenarkan mereka untuk bertanding dalam pilihan raya. Pada saya, itu adalah contoh.

"(Bagaimanapun) Ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau memberikan peranan kepada keluarganya.

"Saya tidak boleh menjangka perkara ini. Saya hanya manusia biasa," katanya.

Tiada ulasan: