Sabtu, 21 Mac 2009

Dilucut hak bertanding: Rayuan Ali Rustam ditolak, muktamad

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Keputusan melucutkan hak Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno muktamad hari ini ekoran langkah Lembaga Rayuan menolak rayuan beliau.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara.

Keputusan itu dibuat dua hari selepas rayuan diterima daripada Ketua Menteri Melaka tersebut.

"Sekiranya Panel Rayuan menerima rayuan Mohd Ali, maka beliau boleh bertanding dalam pemilihan minggu hadapan, tetapi setelah dipertimbang dengan teliti, rayuan Mohd Ali telah ditolak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Rayuan Umno, di sini semalam.

Lembaga Rayuan terdiri daripada lima ahli panel.

Jelas Mohd Zuki, rayuan yang dibuat oleh Mohd Ali adalah hanya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin.

"Rayuan ini ini dipercepatkan untuk kepentingan Mohd Ali," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali boleh mengemukakan rayuan kedua selepas rayuan ini ditolak, beliau berkata, keputusan tersebut adalah muktamad.

"Tak ada lagi dah... itulah yang kita putuskan," katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Dengan keputusan itu, persaingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini melibatkan tiga penjuru kini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Tiada ulasan: