Ahad, 1 Mac 2009

Demokrasi Dicincang

oleh pemudawilayah


Bukankah seorang Speaker berhak memanggil dewan bersidang? Kalau hak untuk memanggil dewan bersidang juga dirampas daripada seorang speaker, apakah nilai-nilai demokrasi yang akan kita warisi pada masa akan datang. Kita tidak mahu anak-anak kita hidup dalam kelambu ‘demokrasi setengah masak’.

Saya telah memanggil untuk mengadakan persidangan tergempar pada 3 Mac 2009. Tetapi saya dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai alasan. Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan. Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang. Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan.

Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan. Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang? Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.

Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif. Penasihat Undang-undang Negeri Perak campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini. Beliau memberi pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut.

Apakah kuasa yang ada pada Penasihat Undang-undang dalam menghalang persidangan dewan tergempar? Siapakan memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya? Tindakan beliau boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia. Beliau tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri.

Penasihat Undang-undang cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’. Saya ingin mengingatkan beliau supaya jangan meniadakan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tunggak demokrasi sesebuah negara. Gangguan-gangguan seperti ini akan mencemarkan nama baik institusi perundanagan yang disanjungi tinggi di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap bersama-sama dengan beberapa pakar Undang-undang Perlembagaan sebelum memanggil persidangan dewan tergempar. Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidangkuasa speaker.

Saya telah menerima 2 usul daripada YB Khalil Idham Lim (Titi Serong) dan YB Chang Li Kang (Teja) yang memerlukan perhatian dewan dengan serta merta. Oleh yang demikian, saya terikat kepada undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya untuk memanggil sidang dewan tergempar untuk membincangkan isu yang dibangkitkan. Ini juga merupakan amalan demokrasi yang perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

V.Sivakumar
Speaker, Dewan Negeri Perak.

Tiada ulasan: