Isnin, 23 Mac 2009

Demokrasi dalam MIC sudah mati: Muthupalaniappan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M Muthupalaniappan, yang gagal dalam percubaannya hari ini untuk bertanding jawatan tertinggi parti, mengisytiharkan bahawa demokrasi sudah mati dalam MIC.

Beliau berkata, ini berdasarkan hakikat terdapat banyak pencalonannya yang dibatalkan.

Muthupalaniappan mengemukakan 53 pencalonan bagi menyokong beliau untuk bertanding jawatan presiden parti di ibu pejabat MIC pagi ini.

Sejumlah 48 daripada 53 pencalonan itu ditolak kerana tidak mematuhi perlembagaan dan undang-undang kecil pemilihan presiden MIC.

Kesudahannya, beliau hanya mempunyai lima pencalonan yang sah berbanding penyandang jawatan presiden, Datuk Seri S Samy Vellu, yang memiliki 455.

Samy Vellu diisytiharkan presiden parti untuk penggal ke-11 berturut-turut.

Mengikut perlembagaan parti, seseorang yang berhasrat bertanding jawatan presiden perlu memperoleh 50 pencalonan dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan lima penyokong bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Semua pencadang dan penyokong mestilah pengerusi cawangan. Presiden MIC akan dipilih oleh kira-kira 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara jika ada pertandingan.

Tiada ulasan: