Sabtu, 7 Mac 2009

Calon Bukit Selambau: Umno sokong pilihan BN

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Umno, termasuk Umno Kedah, memberikan jaminan sanggup berbuat apa sahaja bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah tanpa mengira calon yang menjadi pilihan BN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, Umno Kedah, khususnya Bahagian Merbok, di mana terletaknya Bukit Selambau, telah memberikan jaminan itu dan komited dalam memastikan kemenangan BN.

Kerusi Bukit Selambau kosong selepas peletakan jawatan oleh penyandangnya V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal bulan lepas.

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi itu secara tradisinya diperuntukkan kepada MIC untuk bertanding atas tiket BN tetapi sejak beberapa minggu lepas, beberapa pemimpin Umno setempat memberikan pandangan yang kerusi itu patut ditandingi oleh Umno.

"Soalan siapakah calonnya tidak timbul. Calon itu boleh daripada mana-mana parti komponen BN dan Umno akan menerima keputusan pucuk pimpinan BN.

"Memilih calon adalah hak pucuk pimpinan BN," kata Najib yang juga Timbalan Presiden Umno kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Najib mempengerusikan mesyuarat antara jawatankuasa pengurusan Umno dan jawatankuasa badan perhubungan Umno Kedah di ibu pejabat parti.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata, Umno telah membahagikan tugas parti bagi pilihan raya kecil itu dan yakin dengan kerjasama rapat dalam Umno sendiri dan di kalangan parti komponen BN akan melancarkan operasi persediaan bagi pilihan raya kecil itu.

Ditanya mengenai pertikaian berhubung parti mana akan dibenarkan meletakkan calonnya untuk mewakili BN, Najib berkata, semua parti komponen BN perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan berhubung perkara itu.

"Kami akan umumkan calonnya pada waktu yang sesuai. Paling lambat, menjelang hari penamaan calon, sehari lebih awal atau lebih awal lagi. Kami akan serahkan kepada pucuk pimpinan (BN) untuk memutuskannya.

"Kami perlu hormati kerjasama rapat yang terjalin antara partiparti komponen," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut dibiarkan menyiapkan penyiasatan terhadap dua pembantu kanan menteri yang dilaporkan disiasat kerana terlibat amalan rasuah.

"Semua persoalan mengenai perkara itu patut dikendalikan oleh SPRM.

"Mereka boleh bertindak dan melakukan penyiasatan mereka sendiri.

"Oleh kerana ia sudah di peringkat ini, adalah tidak betul untuk kita membuat rumusan mengenai perkara itu," katanya.

Beliau diminta mengulas laporan berita hari ini bahawa dua pembantu kanan seorang menteri disoal siasat oleh SPRM kerana didakwa terlibat rasuah.

Tiada ulasan: