Ahad, 22 Mac 2009

BN tidak gentar kehadiran Blogger PKR?

MALAYSIA TODAY /Berita Harian


Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak akan gentar dengan kehadiran beberapa 'blogger' dari Pakatan Rakyat (PR) yang dikatakan akan membantu kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepanjang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, 7 April ini.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri James Jemut Masing, berkata biar seramai mana ‘blogger’ PR datang ke Batang Air, jentera BN bersedia menghadapi mereka selain menganggap penduduk di sini, tidak memerlukan orang asing.

Katanya, kehadiran mereka boleh disifatkan sebagai membuang masa kerana pengundi sudah matang untuk menilai siapa sebenarnya yang mampu membawa perubahan dan kemajuan kepada penduduk di negeri ini.

“Saya dimaklumkan akan ada beberapa ‘blogger’ dari PR akan datang ke Batang Air dengan saya ‘mengalu-alukan’ kehadiran mereka, namun tetap merasakan usaha itu adalah sia-sia belaka.

“Pengundi di Batang Air sudah lama bersama BN dan mereka mengetahui kita banyak membawa perubahan kepada kawasan ini sedangkan pembangkang hanya tahu memfitnah saja,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera Wanita dan Pemuda BN di rumah Sandah, Sungai Ara, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita BN Sarawak, Senator Datuk Seri Empiang Jabu; Ketua Pergerakan Pemuda BN Sarawak, Fadillah Yusof dan calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Batang Air, Malcolm Mussen Lamoh.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, berkata pihaknya mendapat laporan mengatakan beberapa ahli dipercayai dari parti pembangkang mengganggu petugas BN terutama wanita yang sedang berkempen dari rumah ke rumah.

“Saya akan meminta setiap petugas wanita yang keluar berkempen diiringi jentera Pemuda BN bagi mengelakkan perkara tidak diingini dari berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai 1,000 ahli pergerakan Wanita dan Pemuda yang akan membantu kempen DUN Batang Air, Masing berkata, jumlah itu adalah mencukupi kerana mereka turut dibantu jentera Pemuda BN Pusat.

Tiada ulasan: