Jumaat, 27 Mac 2009

Ayam kini lebih murah

Oleh ASRON MUSTAPHA


KUALA LUMPUR - Kalangan peniaga ayam kini mula tersepit. Jika sebelum ini mereka kerap menaikkan harga ayam dengan pelbagai alasan, kini mereka mula merasa bahang tekanan pengguna.

Ekoran permintaan yang semakin merosot kerana orang ramai kini lebih berhati-hati dalam berbelanja, Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengambil langkah terdesak menurunkan harga ayam itu di seluruh negara.

Harga pasaran bagi ayam daging turun di antara 40 hingga 55 sen sekilogram mulai semalam ekoran permintaan yang semakin berkurangan.

Malah, harga itu dijangka turun lagi pada minggu depan sehingga 30 sen.

Penurunan yang bermula semalam itu menjadikan harga ladang ayam hidup kini turun daripada RM3.70 kepada RM3.30 sekilogram, harga borong daripada RM4.40 kepada RM4 sekilogram dan harga runcit daripada RM5.10 kepada RM4.70 sekilogram.

Harga borong ayam bersih pula turun daripada RM5.20 kepada RM4.70 sekilogram sementara harga runcit ayam bersih dengan kaki, kepala dan hempedal turun daripada RM6 kepada RM5.55 sekilogram.

Pengerusi persekutuan itu, Kwei Yew Tong berkata, turut turun ialah ayam bersih tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal iaitu daripada RM7.40 kepada RM6.90 sekilogram.

Tiada ulasan: