Rabu, 4 Mac 2009

Arumugam calon BN di Bukit Selambau?

Abdul Rahim Sabri


Tiga nama disebut-sebut mungkin dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau 7 April ini.

Mereka ialah Pengerusi MIC Merbok, A. Arumugam, Setiausaha MIC negeri, S Ananthan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di situ, Datuk V Saravanan, 61.

Difahamkan, kebanyakan masyarakat India yang menyokong BN di kawasan mahukan muka baru dari MIC dipilih mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu.

Berdasarkan nama-nama tersebut, Ananthan pernah bertanding di DUN Lunas dalam pilihanraya umum tahun lalu, tetapi tewas kepada calon PKR.

Manakala Saravanan tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau dalam pilihanraya umum lalu, untuk memberi laluan kepada calon muda, S Krisnan dari MIC.

Bagaimanapaun, Krisnan tewas kepada calon bebas, V Arumugam yang kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco negeri.

Muka baru

Bagaimanapun kerusi tersebut kosong selepas Arumugam meletakkan jawatan awal bulan lalu.

Manakala pengerusi MIC Merbok, Arumugam merupakan muka baru yang tidak pernah bertanding sebelum ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Arumugam berkata rata-rata masyarakat India di situ yang menyokong BN, mahukan muka baru untuk mewakili BN.

MIC mempunyai 57 cawangan di Bukit Selambau. Terdapat kira-kira 9,700 pengundi keturunan India di situ.

Dilaporkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah menghantar senarai lebih lima calon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti tersebut untuk dipilih mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu.

Tiada ulasan: