Rabu, 25 Mac 2009

Anwar sasaran tempelak Pemuda

MALAYSIA KINI
(kemaskini 11.55 am)


Persidangan tiga sayap utama Umno bermula dengan penuh debaran hari ini apabila proses pengundian yang berlangsung akan membuka percaturan baru kem-kem parti itu.

Majlis perasmian pergerakan-pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dimulakan jam 8.30 pagi diikuti pengundian untuk memilih ketua masing-masing selepas 11 pagi tadi.

Perhimpunan agung Wanita yang menyaksikan persaingan antara penyandang Tan Sri Rafidah Aziz dan naibnya Datuk Seri Shahrizat Jalil diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, bangunan PWTC.

umno agm 250309 hishammuddin wield keris 02Pemuda yang bersidang di Dewan Tun Hussein Onn menyaksikan pertarungan tiga penjuru merebut jawatan teratas - naib ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, exconya Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sementara persidangan Puteri yang melibatkan perebutan enam penjuru diadakan di Dewan Merdeka, bangunan yang menempatkan ibu pejabat Umno.

Sewaktu majlis perasmian Pemuda, ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih meneruskan tradisi baru tetapi kontroversinya yang mengarak dan mencium keris (foto fail).

Dalam ucapannya tadi, beliau menempelak projek peralihan kerajaan persekutuan "16 September" yang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya "petualang yang cuba mengajar anak ketam berjalan betul".

"Ada petualang yang secara sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia.

"Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran ketentuan Ilahi menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak, bersifat sombong.

"Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul," katanya.

Tambahnya, "petualang" tersebut seorang yang "gilakan kuasa, sanggup bersekongkol dengan musuh, menghina tanah air sendiri di serata dunia, mempersenda institusi raja, manusia berbagai-bagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi dan lain di depan, lain di belakang."

"Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jual negeri," katanya.

"Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh si petualang ini."

Rafidah, sewaktu berucap merasmikan perhimpunan Wanita, berkata sejak persaingan sengit pada 1987, gejala politik wang dan politik berpuak-puak menular dalam parti itu.

"Nafsu gelojoh mengejar jawatan dan merebut kuasa telah membiakkan budaya baru - iaitu budaya politik upahan dan imbuhan. Sokongan diberi bukan kepada mereka yang berkemampuan untuk berusaha dan bekerja, tetapi kepada sesiapa yang boleh menawarkan sesuatu," katanya.

"Jawatan dalam Umno sudah mula menjadi seolah-olah tawaran tender, dengan membuat tawaran tertinggi diberi pertimbangan - bahkan lebih tepat kalau dikatakan sudah muncul pendekatan 'lelong jawatan'.

"Bagaimanapun masih ramai ahli-ahli Umno dan mereka yang diamanahkan untuk memilih pemimpin sebagai perwakilan di peringkat masing-masing yang berpegang kepada integriti dan amanah.

"Tetapi berapa lamakah mereka akan dapat bertahan jika sentiasa diasak dan diasyikkan dengan persoalan seperti 'apa boleh dapat' dan 'apa dia boleh beri?' "

Sementara ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad pula menyeru Umno agar kembali kepada masyarakat dan prihatin dengan kehidupan rakyat.

"Kita harus belajar daripada kesilapan lalu, dalam senario politik semasa, kita kena akur bukan mudah untuk memenangi hati dan undi rakyat," katanya, merujuk persaingan yang bakal dihadapi parti itu pada tiga pilihanraya kecil, 7 April depan.

Tambahnya, Umno harus menyusun strategi kempen yang lebih efektif "kalau kita tidak mahu menerima tamparan berterusan dari pada pihak pembangkang".

"Fahamilah kehendak rakyat supaya mereka tahu ke mana mereka akan tuju untuk bergantung hidup," katanya.

Tiada ulasan: