Rabu, 18 Mac 2009

Ali Rustam henti kempen serta-merta

Wong Teck Chi


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau akan memberhentikan serta merta kempen untuk jawatan timbalan presiden Umno.

Katanya, ini kerana beliau telah kehilangan kelayakan untuk bertanding jawtaan tersebut.

Menurutnya, beliau tidak lagi berkempen menemui perwakilan di negeri-negeri kerana hukuman Lembaga Disiplin berkuat kuasa serta merta.

"Mana boleh saya dah tak layak. Saya dah serah kepada setiausaha saya (untuk enyerahkan rayuan saya)," katanya.

Semalam, Lembaga Disiplin Umno melarangnya Mohd Ali bertanding jawatan timbalan presiden minggu depan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Mohd Ali yang juga naib presiden Umno memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan Umno di Parlimen pagi ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Ali yang juga salah seorang anggota jawatankuasa tersebut, berkata ia adalah mesyuarat mingguan yang diadakan setiap hari Rabu.

Mesyuarat pengurusan

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu perkara yang dibincangkan dalam dalam mesyuarat tersebut.

Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya sama ada mesyuarat hari ini turut menyentuh tentang larangan beliau bertanding.

Mohd Ali juga enggan mengulas mengenai keputusan Lembaga Disiplin Umno semalam, sambil berkata beliau telah memberi komen di Melaka pagi tadi.

Dalam sidang akhbar di Melaka pagi tadi, Mohd Ali berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap larangan tersebut hari ini.

Ketua Menteri Melaka itu juga berkata beliau belum lagi menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ditanya lebih lanjut, Mohd Ali berkata beliau akan menemui perdana menteri pada masa yang sesuai.

Lembaga Disiplin Umno semalam mendapati Mohd Ali bersalah melanggar peraturan pemilihan Umno dan dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno minggu depan.

Ejen kempen

Bagaimanapun, Mohd Ali tidak digantung keahliannya dalam Umno.

Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Lembaga tersebut memutuskan bahawa Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil.Manakala Zalina adalah naib ketua Puteri Umno bahagian yang sama.

Berikutan itu, ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Tiada ulasan: