Jumaat, 6 Mac 2009

Akhiri eksploitasi sesama bangsa melalui PPSMI

LanH


Tanggal 9 Mac ini (12 Rabiulawal 1430), umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul. Kelahiran seterusnya kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. membawa rahmat kepada sekalian alam.

Baginda membebaskan bangsa Arab daripada fahaman dan amalan jahiliah, seterusnya mengangkat martabat mereka ke darjat paling tinggi sepanjang sejarah; sehingga dapat menewaskan dua kuasa dunia ketika itu - empayar Rom dan Parsi.

Sebagai penyuluh umat sepanjang zaman adalah penting untuk kita merujuk kepada sirah Rasulullah s.a.w. sekalipun dalam membicarakan permasalahan kotemporari membabitkan masyarakat kita - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Nabi Muhammad s.a.w. dalam usaha pertamanya membangunkan masyarakat sebaik-baik tiba di bumi Madinah dari Makkah (Hijrah) adalah mendirikan masjid (Masjid Quba'). Masjid adalah institusi utama membangunkan masyarakat. Masjid didirikan di pusat-pusat kediaman; bukan di puncak gunung seperti didirikan biara. Ini bagi membolehkan masjid dijadikan pusat kegiatan dan pembangunan masyarakat setempat. Masjid adalah institusi yang menyamai pusat pembangunan, sekolah dan universiti seperti dikenali hari ini.

Daripada masjidlah berkembang ilmu yang pada dasarnya disampaikan dalam bahasa masyarakat setempat. Khutbah dan ilmu disampaikan dalam bahasa yang difahami majoriti penduduk. Jika kawasan itu bermajoritikan orang Arab, khutbahnya adalah dalam bahasa Arab; jika kebanyakan penduduknya orang Parsi, khutbahnya dalam bahasa Parsi.

Bahasa adalah berkaitan dengan umat itu. Orang Arab yang telah diislamkan, berkembang maju sejajar dengan kehebatan bahasanya yang diperkayakan oleh ilmu-ilmu Islam. Apabila kawasan orang Islam semakin jauh melangkaui sempadan dunia Arab, bahasa mereka semakin kaya. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan sahabat-sahabatnya mempelajari bahasa luar seperti Parsi dan bahasa orang Rom. Dengan ini semakin berkembanglah bahasa Arab, seterusnya membawa kemajuan ilmu pengetahuan paling hebat pernah diketahui.

Kehebatan orang Arab Islam adalah kerana ilmunya dalam bahasa Arab. Sekalipun Rasulullah s.a.w. menggalakkan sahabat mempelajari bahasa asing, kemajuan ilmu orang Islam tidak terletak pada bahasa asing seperti bahasa orang Rom. Orang Parsi pun selepas menerima Islam, memaju dan menghebatkan bahasa mereka sehingga bahasa Parsi mempunyai saham dalam memperkayakan khazanah ilmu dunia Islam.

Selain fakor keislaman mereka, orang Arab menjadi hebat apabila bahasa Arab hebat; orang Parsi hebat dalam bahasa Parsinya, tamadun Cina hebat dalam bahasa Cinanya; orang Inggeris hebat dalam bahasa Inggerisnya; tup tup orang Melayu atau Malaysia mahu dijadikan bangsa hebat dalam bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Ini betul-betul kerja 'gila' atau 'golongan celaka' (diungkapkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang) dan 'bangang' oleh Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Dato' Dr Hassan Ahmad.

Apa yang kita khuatiri pengerak PPSMI adalah tinggalan saki baki penjajah yang bersarang di kalangan golongan elit dan feudal negara. Seperti dijelaskan, ilmu (seperti khutbah dan tazkirah di masjid) perlu disampaikan dalam bahasa difahami masyarakat setempat. Ilmu perlu menyeluruh, boleh diakses seluruh anggota masyarakat tanpa sempadan bikinan seperti bahasa, kuasa, keturunan kedudukan dan pangkat.

Mengenai kelemahan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris dalam membicarakan bidang sains dan teknologi yang menjadi sandaran sesetengah pihak untuk menolak penggunaan bahasa Melayu, pihak berkenaan sudah jelas 'golongan celaka' kerana jika orang Melayu/Islam tidak memajukan bahasa ini, mereka mengharapkan siapa sebenarnya? Bukankah Rasulullah s.a.w. meminta sahabatnya belajar bahasa asing seterusnya menyampaikan ilmu diperolehi kepada anggota masyarakat, tujuannya untuk dimanfaatkan orang Islam seluruhnya, bukan memberi manfaat kepada segelintir pihak untuk mengeksploitasi rakyat!

*Artikel lain penulis boleh diakses di Lanh14.blogspot.com _

Tiada ulasan: