Isnin, 2 Mac 2009

Pak Lah tetap serah kuasa hujung Mac

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


HUA HIN, Thailand: Dilihat sebagai kenyataan menolak tanggapan sesetengah pihak tidak akan berundur selepas pemilihan Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau kekal dengan pendiriannya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak Mac ini.

"Itu adalah rancangan yang saya buat... oleh itu kita perlu mengikut perancangan tersebut," kata beliau pada sidang akhbar di hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN di sini sebentar tadi.

Abdullah yang juga Presiden Umno tidak mempertahankan kedudukannya itu pada pemilihan kali ini.

Pemilihan berlangsung 26 Mac ini sempena Perhimpunan Agung Tahunan Umno.

Beliau dijadual menyerahkan jawatan Perdana Menteri sejurus selepas itu.

Bagaimanapun belum ada tarikh tetap diumumkan lagi.

Abdullah berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

Kelmarin, Abdullah berkata, beliau tidak berasa sedih atau sayu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN terakhirnya sebelum bersara selepas perhimpunan Umno hujung bulan depan.

"Saya tak ada apa-apa... biasa saja, tak rasa sayu, tak sedih. Ini kerja biasa," kata beliau yang juga Menteri Pertahanan.

Tiada ulasan: