Isnin, 16 Mac 2009

Cara Umno untuk hancurkan Pakatan Rakyat

Abu Firdaus


Inti perjuangan Umno sudah difahami bahawa ia adalah untuk mempertahankan kepentingan Melayu dengan memastikan bahawa Malaysia akan tetap menjadi sebuah negara Melayu, tetapi dalam waktu sama memberi ruang kebebasan kaum lain untuk menikmati hak sebagai warga sebagai sebuah negara moden.

Ketuanan Melayu ini bersifat perlembagaan, iaitu Malaysia hendak dijadikan sebuah negara demokratik dan maju tetapi kedudukan orang Melayu yang mendapat tempat dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya tetap terjamin.

Maka Umno menetapkan bahawa kepentingan Melayu dipertahankan melalui kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang dikenali sebagai bahasa Malaysia, Islam merupakan agama rasmi Malaysia dan orang Melayu mempunyai hak istimewa yang terserlah melalui Dasar Ekonomi Baru.

Sungguhpun perjuangan Umno ini menyebelahi orang Melayu tetapi mengapakah sejak akhir-akhir ini seperti yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum 2008, orang Melayu telah menolak Umno? Adakah dengan menolak Umno, orang Melayu menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu?

Atau adakah orang Melayu menolak Umno kerana parti itu penuh dengan korupsi dan kronisme seperti yang jelas dalam kempen pemilihan parti itu sekarang ini. Tindak-tanduk pemimpin Umno dari peringkat atas hingga ke bawah memualkan orang Melayu sendiri hingga mereka tidak tergamak mengundi Umno. Katakanlah, Umno menjadi parti yang bersih dan tidak berlaku korupsi, penyelewengan, kronisme dan salah guna kuasa, adakah orang Melayu akan menolak mereka? Dalam hal ini pun sudah jelas bahawa orang Melayu menyokong teras perjuangan Umno seperti menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu. Umno sedar perkara ini, sebab itu dalam keadaan kehilangan keyakinan rakyat ini pun, mereka menekankan betapa unggulnya perjuangan mereka untuk Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu. Sebaliknya, pihak Umno menuduh Pakatan Rakyat hendak menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Tetapi adakah itu benar? PAS, kalau dilihat sejarah perjuangannya, tidak pernah menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu, tetap memperjuangkan bahasa Melayu, menjunjung keunggulan agama Islam dan juga hak istimewa orang Melayu. Dalam sejarah negara, pihak yang menghakiskan kuasa Raja-Raja Melayu bukannya PAS tetapi Umno. Perjuangan PAS mengenai agama adalah jelas dan tidak perlu hendak dihuraikan lagi. Begitujuga dengan soal bahasa. Malah ketika Dr Mahathir Mohamad mula memperkenakkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), PAS paling awal mempertikaikannya. Sebaliknya Umno menyebelahi tindakan Mahathir.

Mengenai hak istimewa orang Melayu, PAS mendahului Umno apabila dalam pilihan raya 1964, PAS dengan lantang memperjuangkan kepentingan Melayu lebih daripada Umno yang terpaksa berkompromi dengan MCA dan MIC.

Ketika penggubalan DEB, perlu diingat bahawa ia dapat dilakukan adalah kerana PAS turut menyokongnya melalui keanggotaannya dalam Barisan Nasional. Pada asasnya semua pihak maklum, PAS tidak pernah mempertikaikan DEB yang asal. Tujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan adalah perjuangan murni yang menepati ajaran Islam.

Tetapi apa yang dipertikaikan lebih-lebih lagi semasa kepimpinan Hussein Onn dan Mahathir Mohamad adalah karakter DEB yang bukan memperjuangkan Bumiputera tetapi sebaliknya berbentuk Umnoputera. Dengan pelaksanaannya yang bersalut korupsi dan kronisme serta keberkesanannya yang meragukan dicampur pula ketirisan, maka sudah tentu ia kehilangankewibawaan.

Dasar yang pada asasnya untuk membasmi kemiskinan akhirnya menjadi alat memperluaskan jurang antara elit kaya dan golongan sederhana orang Melayu. Penyusunan semula masyarakat tidak dapat dilihat apabila program usahawan Melayu dinodai dengan amalan ali baba yang terang-terang kelihatan.

Akhirnya dasar itu juga menjadi landasan kepada terbentuknya politik wang yang kini menjadi penyakit dalam Umno. Jadi PAS tidak pernah menolak perjuangan nasional Melayu dalam bentuk menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, agama rasmi Islam dan hak istimewa orang Melayu.

Sementara Pakatan Rakyat juga merupakan gabungan konsensus yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP. Seperti mana PAS tidak akan dapat melaksanakan sesuatu dasar tanpa konsensus anggota Pakatan yang lain, maka begitu juga parti-parti lain tidak akan dapat menghapuskan perjuangan nasional Melayu jika tidak dibenarkan oleh PAS.

Tetapi adakah hanya PAS yang menjunjung perjuangan nasional Melayu dalam Pakatan? Umno seringkali menyamakan KeADILan dan DAP. Seolah-olah KeADILan adalah parti liberal yang mahu mewujudkan sistem ala Amerika di Malaysia. Kalaulah dasar KeADILan serupa DAP, buat apa ia menubuhkan parti yang berasingan.

Anwar Ibrahim sebagai pemimpin sebuah parti gabungan KeADILan dan DAP akan lebih kuat. Tetapi itu tidak berlaku kerana asas KeADIan dan DAP adalah berbeza. KeADILan, perlu diingat bukannya parti baru. Ia mempunyai warisan panjang, malah tidak keterlaluan ia merupakan warisan kepada parti Melayu pertama iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Ia kemudian diwarisi Parti Rakyat Malaya (PRM) yang kemudian bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat.

PKMM, PRM dan KeADILan dari dasarnya tetap menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, memperjuangkan bahasa Melayu, menegakkan Islam sebagai agama rasmi dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu.

Jadi PAS dan KeADILan merupakan parti nasional orang Melayu dalam Pakatan. DAP mempunyai pendirian berbeza tetapi mereka menerima kerjasama Pakatan dalam bentuk konsensus. Seperti mana juga MCA dan Gerakan dalam BN.

Justeru, tuduhan bahawa Pakatan menolak perjuangan nasional Melayu adalah tidak betul dan merupakan propaganda Umno yang bertujuan untuk menghapuskan Pakatan. Tuduhan Umno ini merupakan perangkap. Jika pendokong Pakatan terbawa-bawa dan terdorong untuk mempercayai bahawa Pakatan menolak perjuangan nasional Melayu, maka dengan mudah Umno akan mempengaruhi rakyat untuk menolak Pakatan. _

Tiada ulasan: