Rabu, 11 Mac 2009

40 “Scanner” ANGKASA disewa bagi pemilihan UMNO

BERNAMA


KUALA LUMPUR — Sebanyak 40 “scanner” Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan digunakan dalam sistem pengundian berkomputer pada pemilihan UMNO yang dijadualkan akhir bulan ini. Setiausaha Kerja UMNO Brig. Jen. (B) Datuk Husainay Hashim berkata antara 30 hingga 40 “scanner” itu akan disewa bagi menjalankan sistem pengundian berkomputer yang diluluskan Jawatankuasa Pengurusan UMNO sebelum ini.

“Sistem pengundian berkomputer yang diluluskan ini akan menjimatkan masa pengiraan undi selain lebih telus,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi bagi mengulas persediaan perhimpunan agung parti itu pada 24 hingga 28 Mac ini. Beliau berkata sistem pengundian berkomputer yang kali pertama digunapakai dalam pemilihan UMNO itu akan dikelolakan Jawatankuasa Pemilihan diketuai Tan Sri Samsuddin Osman dengan kerjasama ibu pejabat UMNO.

Husainay berkata sistem pengundian itu akan dipantau dua pasukan audit iaitu pasukan audit teknikal dan audit statistik.

“Pasukan audit teknikal akan memastikan sistem itu mengandungi format yang betul tanpa sebarang data sebelum pengundian dilakukan. Ini bermakna bila ada undian, baru data dimasukkan. Tujuannya adalah untuk menjamin ketelusan. “Manakala pasukan audit statistik akan memastikan angka undian yang masuk itu betul dan sekiranya ada kertas undian yang diimbas tetapi meragukan, kertas itu akan terus dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan untuk dibuat keputusan lanjut,” katanya.

Husainay berkata jumlah undi akan disahkan oleh pasukan audit terbabit sebelum sebarang keputusan diumumkan kepada perwakilan.

Beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak turut meluluskan penggunaan gambar pada kertas undi bagi memudahkan perwakilan mengecam calon bertanding.

Lebih 2,500 perwakilan parti akan memilih 269 calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan ketiga-tiga sayap parti; Wanita, Pemuda dan Puteri pada pemilihan kali ini.

Tiada ulasan: