Jumaat, 13 Mac 2009

22 dicari terlibat perarakan PPSMI

MASTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Seramai 22 individu termasuk beberapa pemimpin pembangkang kini sedang dicari oleh pihak polis kerana dipercayai terbabit dalam perarakan tanpa permit membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Istana Negara, Sabtu lalu.

Pihak polis semalam mengedarkan nama kesemua individu tersebut supaya mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samad Mah berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan kerana perhimpunan dan perarakan PPSMI itu tidak mendapat permit dan dianggap melanggar undang-undang mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967.

"Kami harap individu terbabit boleh membantu kami dengan memberikan keterangan kepada pegawai kita seberapa segera," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Mereka adalah Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad; Timbalan Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain; Setiausaha GMP, Hasni Abas; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; Ahli Akademik, Prof Abdullah Hasan; penggiat teater, Shamsudin Othman; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ketua AMk Bahagian Batu, Rozan Azen Mat Rasip.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presidennya, Nasaruddin Mat Isa; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar; Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Suhaizan Kaiat; Mohamad Faizal Abd Aziz; Ainon Simo @ Mohd @ Somo dan Idris Ahmad, turut diminta tampil untuk membantu siasatan.

Perhimpunan anjuran GMP pada Sabtu lalu itu yang dijadualkan di pekarangan Istana Negara bertukar kecoh apabila hampir 5,000 penyokong mengingkari perintah polis supaya tidak berarak ke Istana Negara.

Mengikut persetujuan asal, mereka hanya dibenarkan berkumpul di pekarangan Masjid Negara bermula pukul 2 petang.

Tiada ulasan: