Selasa, 24 Mac 2009

2 mohon injunksi tangguh Perhimpunan Agung Umno

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Ketua Cawangan Umno Muar, Datuk Kadar Ninam Shah berkata, beliau akan mendapatkan injuksi mahkamah untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Umno yang bermula secara rasmi esok sekiranya siasatan aduan politik wang dan salah laku ahli gagal diselesaikan sebelum pertemuan tahunan itu.

Injunksi itu akan diperoleh petang ini dengan memaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan hari ini.

Kadar berkata, beliau dan ahli Umno Subang, Datuk Mazlan Harun telah pun menghantar notis kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Isnin lalu supaya mengambil tindakan berhubung salah laku dalam parti dan meminta ia dijawab dalam masa tujuh hari.

"Dalam notis itu, kita bukan sahaja meminta Umno mengambil tindakan berhubung laporan politik wang tetapi juga mengenai laporan bahawa ada perwakilan yang muflis yang sudah tentunya tidak layak menjadi perwakilan dan mengundi.

"Jika notis ini tidak dijawab pada Isnin ini, pihak saya akan memfailkan satu notis pula kepada Pendaftar Pertubuhan dan seterusnya akan mendapatkan injuksi mahkamah untuk menangguhkan persidangan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada 3 Mac lalu, Kadar dan Mazlan dalam satu sidang media menggesa supaya perhimpunan agung parti yang bakal berlangsung minggu depan ditangguhkan supaya kes-kes politik wang yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat diselesaikan.

Mengulas lanjut, Kadar berkata, walaupun masa agak suntuk pada ketika ini untuk menghalang persidangan daripada berlangsung, namun ia tetap tidak mustahil untuk dilakukan.

"Kalau sudah berlangsung pun (persidangan), kita boleh tangguhkan ketika ia sedang bersidang," katanya.

Ditanya apa yang akan dilakukan sekiranya ia masih gagal ditangguhkan, Kadar berkata, beliau tidak akan membuat tindakan yang akan memalukan Umno termasuk sehingga memastikan persidangan itu menjadi tidak sah.

"Saya tidak akan buat begitu. Bagaimanapun, ada orang lain dalam Umno yang akan melakukannya.

"Mereka akan mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan persidangan itu nanti sebagai tidak sah.

"Mereka ini adalah orang-orang yang berada dalam Umno tetapi membangkang Umno," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, beliau masih berharap Umno dapat mengambil tindakan terhadap segala laporan salah laku yang diterima.

"Walaupun masa semakin suntuk tetapi saya harap mungkin ada satu kenyataan contohnya daripada Umno yang menyatakan parti telah menyelesaikan semua aduan yang diterima," katanya.

Katanya, beliau menghargai tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin parti Rabu lalu terhadap pemimpin-pemimpin peringkat atasan dan bahawan berhubung politik wang tetapi ia masih tidak menyeluruh.

"Mungkin jumlah itu hanya 30 peratus sahaja, ada 70 peratus lagi yang belum disiasat," katanya.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin Umno menjatuhkan hukuman ke atas 15 ahli daripada 29 kes yang disiasat berhubung politik wang.

Antara yang dikenakan hukuman adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan minggu depan.

Selain itu, calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut didapati bersalah mengikut Perkara yang sama tetapi hanya diberikan amaran dan masih dibenarkan bertanding.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, beliau tidak mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin tetapi keputusan itu bagaimanapun telah mewujudkan pelbagai soalan susulan yang akhirnya menimbulkan keraguan terhadap tindakan yang diambil.

Tiada ulasan: