Isnin, 2 Mac 2009

17 penyokong Uthayakumar dibebaskan

MALAYSIA KINI


Seramai 17 orang, termasuk anggota Parlimen Kapar S Manikavasagam, yang ditahan polis semalam kerana menyertai perhimpunan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, dibebaskan dengan jaminan polis.

Mereka dibebaskan kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas diambil keterangan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman, lapor Bernama.

Menurut beliau, mereka ditahan kerana menyertai perhimpunan tanpa permit itu bersama hampir 300 orang lagi di hadapan IPD berkenaan.

"Kesemua yang ditahan dan dibebaskan semalam, akan disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967," katanya.

Semalam, kesemua mereka itu ditahan selepas menyertai perhimpunan bagi membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

Dalam pada itu, polis juga terpaksa melepaskan semburan air untuk menyuraikan mereka yang berhimpun itu apabila tidak mengendahkan arahan supaya bersurai.

Sehari sebelum insiden berkenaan, polis juga memberikan amaran mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri dalam perhimpunan tersebut yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam.

Tiada ulasan: