Sabtu, 3 Januari 2009

VK Lingam ambil balik dokumen kes video klip

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Peguam Datuk V.K. Lingam hari ini muncul di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk mengambil dokumen-dokumen yang beliau kemukakan sebelum ini bagi tujuan siasatan klip videonya.

Beliau tiba di SPRM pada pukul 11.50 pagi dan meninggalkan tempat itu kira-kira sejam kemudian.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi bahawa hasil siasatan berkaitan rakaman klip video V.K. Lingam tidak boleh dicabar, Lingam berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada bulan lepas memutuskan bahawa penemuan-penemuan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Siasatan berkaitan rakaman klip video V.K. Lingam tidak boleh dicabar.

Hakim Datuk Abdul Kadir Musa menolak permohonan lima individu yang dikaitkan dalam laporan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap penemuan-penemuan dalam laporan berkenaan.

Hakim Abdul Kadir menyatakan, penemuan-penemuan dalam laporan Suruhanjaya itu tidak boleh disemak semula kerana ia bukanlah satu keputusan mengikut Perintah 53 Kaedah 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT).

Menurutnya, Suruhanjaya itu tidak membuat keputusan dan penemuan-penemuan Suruhanjaya itu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai 'keputusan' mengikut Perintah 53 KMT.

Tiada ulasan: