Rabu, 21 Januari 2009

Umno tidak perlu khidmat Ezam lagi

Safar Jumaat


UMNO sebenarnya boleh menggunakan sesiapa sahaja untuk tujuan menarik sokongan. Tidak hairanlah, sesiapa sahaja bekas pemimpin pembangkang, jika menyertai Umno, akan digunakan semaksimum mungkin, walaupun kesannya tidak seberapa.

Dulu, Umno menggunakan khidmat Dato' Nakhaie Ahmad, bekas Naib Presiden PAS yang bertindak keluar dari PAS dan menyertai Umno. Macam-macam jawatan diberikan kepadanya, sebelum jawatan terkini yang disandangnya.

Beliau pernah dilantik menjadi Timbalan Ketua Penerangan Umno, jawatan yang kemudiannya leyap begitu sahaja kerana selepas tempoh tenaga dan suara Nakhaie tidak diperlukan lagi, jawatan itu dimansuhkan begitu sahaja.

Nakhaie juga pernah dilantik menjadi Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan yang kini dikenali dengan nama JASA.

Namun, seperti biasa, jika kekesanannya tidak seberapa, akhirnya mereka yang suatu ketika dahulu begitu dihargai dalam parti yang mereka dokongi, akan menjadi 'penghuni kaki lima' di dalam Umno.

Sudah banyak contoh yang boleh disenaraikan, malahan, kisah Nakhaie ingin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Baling, bukan sahaja tidak diterima malahan, seperti dihina apabila beliau akhirnya tidak layak berbuat demikian.

Dalam satu kolumnnya di sebuah akhbar harian, yang kemudiannya ruangan itu pun dimansuhkan, Nakhaie melahirkan rasa kurang senangnya dengan politiking kotor dalam Umno yang menyebabkan beliau terus menyisihkan diri, seolah-olah tidak mahu dipalitkan lagi dengan Umno selepas ini.

Hari ini, Umno seperti menggunakan khidmat bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor. Kemasukan Mohamad Ezam ke dalam Umno, yang disambut mesra Presiden Umno sendiri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak memberi apa-apa kesan kepada popularitas bekas bossnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ezam yang turut menawarkan diri menjadi calon BN di Permatang Pauh, menentang Anwar, disekat oleh Umno Bahagian Permatang Pauh, yang mendesak supaya pucuk pimpinan memilih calon tempatan untuk diletakkan di situ.

Ezam adalah anak kelahiran Selangor dan pernah menjadi Timbalan Ketua Umno salah satu bahagian di Selangor sebelum pemecatannya bersama-sama Anwar dalam tahun 1998 dahulu.

Banyak juga ceramah yang disusun untuk memberi laluan Ezam yang pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan ketika Anwar menerajui kementerian itu, atas satu tujuan, 'discredit' citra Anwar yang dilihat begitu memuncak kebelakangan ini.

Ezam tanpa menoleh ke belakang, menyangupi tugasan itu dan antara tempat yang didatanginya, kawasan Parlimen Ketereh, kawasan di mana Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Alwi Che Ahmad menjadi Timbalan Ketua Umno bahagian di situ dan Adun Kok Lanas.

Dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Permatang Pauh, bukan sedikit rahsia Anwar dibongkar. Bukan satu, tetapi pelbagai rahsia. Macam-macam Ezam bercakap.

Publisiti melalui media elektronik dan media cetak cukup meluas, namun keputusan PRK tetap menyebelahi Anwar dan sekaligus membuktikan, kata-kata Ezam, ditolak.

Hari ini, Ezam masih belum diberikan apa-apa jawatan dalam Umno. Tidak mustahil, selepas ini beliau mungkin akan dilantik menjadi Ahli MT Umno, atau Timbalan Ketua Penerangan Umno, bagi membolehkannya bergerak di merata pentas, dengan satu tujuan, merosakkan citra Anwar.

Malahan, dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu, Ezam mendedahkan surat 'perdamaian' antara Anwar dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malangnya, seperti tiada siapa yang mahu memperdulikan. Kalau ramai yang mendengar ceramah Ezam, mungkin kesemuanya itu adalah jentera BN sendiri, yang bukan pengundi di kawasan tersebut.

Bila Ezam bersumpah, Naib Presiden Pas, Dato' Husam Musa menyindirnya. Husam mempelawa Ezam berdebat dan tentunya Ezam tidak dapat menyambutnya ketika ini, kerana tiada keperluan. Ezam hanya dilihat timbul, bila ada PRK di mana-mana.

Jika tidak, khabarnya Ezam diberikan tugas-tugas khas, membantu Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sebelum kemasukan Ezam ke dalam Umno, beberapa orang sahabat baiknya, termasuk Roslan Kassim sudah mendahuluinya memasuki Umno.

Namun, kesemua mereka ini sekarang berada di kaki lima Umno, yang terkena tempias hujan jika tidak beredar untuk mencari tempat berteduh.

Nasib baik di Kuala Terengganu, pengundi kaum India kecil. Maka, tidaklah kedengaran suara dan kelibat Dato' S Nallakaruppan, bekas rakan tenis Anwar.

Nalla yang sudah meninggalkan KeADILan, kini menjadi Presiden MIUP, yang berusaha menarik sokongan kaum India dalam KeADILan untuk meninggalkan perjuangan Anwar.

Tanpa mengambil kira sebab apa Ezam meninggalkan KeADILan, Nalla secara zahirnya diketahui bertindak meninggalkan KeADILan kerana merajuk dengan janji Anwar yang mahu meletakkannya bertanding di Dun Ijok dalam PRU kecil, sebelum PRU 12 yang lalu.

Kemarahan Nalla kepada Anwar semakin membara apabila dalam pemilihan MT KeADILan, Nalla dihalang untuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden KeADILan.

Hari ini, walaupun tidak kedengaran MIUP memohon untuk menyertai BN tetapi beberapa poster dan kempen yang dijalankan ketika PRU 12 yang lalu, jelas Nalla menyokong BN dan menyerang keperibadian Anwar.

Persoalannya, kata-kata Ezam dan Nalla sudah tidak dapat diterima orang ramai.

Kemarahan orang ramai kepada BN sudah tidak dapat dibendung lagi. Walaupun mereka berdua sanggup menjadi batu penghalang kepada arus yang melanda ini, namun empangan ini (baca: Nalla dan Ezam) sudah pasti dipecahkan dengan arus yang cukup kuat.

Apakah selepas ini, aka nada lagi majlis-majlis ceramah yang akan diberikan Ezam dan Nalla?

Jika ada, untuk tujuan apa? Rasanya, jika Umno dan BN mahu kembali kuat, mereka tidak memerlukan khidmat dari Nalla dan Mohamad Ezam, termasuk Nakhaie sebaliknya barisan kepimpinan Umno dan BN itu sendiri perlu sedar diri, sanggup berubah dan bermuhasabah.

Apalah sangat yang boleh diharapkan kepada mereka bertiga ini? - mr _

Tiada ulasan: