Khamis, 15 Januari 2009

SPR perlu jelaskan undi sulit atau tidak - Mustafa

Lanjusoh, Mohd Nor Yahya


KUALA TERENGGANU - PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kenyataan bagi menjelaskan dakwaan seorang pegawai kanan kerajaan kononnya mengundi tidak sulit.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali mendakwa seorang pemimpin memberitahu pada satu perjumpaan dengan kakitangan kerajaan dengan menyebut pengundian tidak sulit.

"Kita minta SPR membuat kenyataan terbuka mengenai status pengundian yang dimaksudkan pemimpin terbabit tidak lagi sulit," katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Mustafa mendakwa Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim memberi kata dua kepada lebih 500 kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya mengundi calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pertemuan itu difahamkan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman. Mat Razali juga merupakan pegawai pengurus pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Kita ada cukup bukti pegawai terbabit membuat ugutan tersebut kerana ada orang yang memberi laporan kepada kita yang berada dalam majlis terbabit," kata Mustafa.

Beliau juga mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menghadiri majlis memperkenalkan calon BN kepada kakitangan kerajaan di wisma Darul Iman.

"Sedangkan memperkenalkan calon kepada kakitangan kerajaan adalah salah di segi peraturan pilihan raya," katanya.

Sementara itu, petang ini seorang penduduk Raja Arizal Raja Arif, 32 dan Mohd Fadzil Wahad membuat laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya kerana membuat ugutan terhadap pengundi.

Laporan itu dibuat kira-kira jam 4 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Semalam Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohd Fariz Musa juga membuat laporan serupa terhadap Mat Razali. - mj _

Tiada ulasan: