Ahad, 4 Januari 2009

Sibuk aktiviti, berat badan calon BN turun

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Kepadatan jadual harian yang penuh dengan pelbagai aktiviti tanpa mengira waktu menyebabkan berat badan calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turun dua kilogram.

Sejak diumumkan sebagai calon, beliau mempunyai jadual yang penuh termasuk mengadakan perjumpaan dengan sayap-sayap serta jentera parti untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil ini, 17 Jan nanti.

"Saya pun baru sedar berat badan saya sudah turun dua kilogram beberapa lalu," katanya ketika ditemui di majlis perjumpaan veteran Umno Bahagian di Dewan Seri Amar di sini, Sabtu.

Difaham beliau mempunyai jadual setiap hari dengan minimum 15 program sehari termasuk majlis bertemu rakyat dari rumah ke rumah, perjumpaan dengan pengundi muda serta menghadiri majlis perkahwinan.

Malah dilaporkan beliau pernah menghadiri 20 program sehari demi memastikan semua rakyat di Kuala Terengganu tanpa mengira lapisan umur, kaum dan agama mengenalinya lebih rapat sebagai calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya ini nanti.

Langkah itu juga diambil untuk membersihkan stigma masyarakat yang beranggapan beliau seorang pemimpin yang sombong dan susah mendekati rakyat.

Ditanya tentang rutin hariannya sejak dinamakan sebagai calon, Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata jadualnya bermula pukul 5.30 pagi dan lazimnya beliau akan tidur antara pukul 3 dan 4 pagi selepas mengadakan solat sunat.

"Saya juga banyak mengamalkan solat sunat kerana hanya itu cara yang terbaik bagi saya untuk kekuatan dalaman," katanya yang turut mengambil pil makanan tambahan bagi kesihatannya sepanjang tempoh pilihan raya ini, yang hari penaman calon ialah pada Selasa ini.

Tiada ulasan: