Sabtu, 10 Januari 2009

Shamsul cabar Wan Farid berdebat

SUARA KEADILAN


KUALA TERENGGANU - KETUA Angkatan Muda KeADILan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar calon Barisan Nasional (BN) Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk berdebat dengan beliau mengenai royalti minyak untuk rakyat Terengganu.

Menurut beliau, sekiranya calon BN itu tidak dapat menjawab persoalan berkaitan dengan royalti, bagaimana ia hendak memimpin negeri sedangkan isu tersebut tidak selesai.

“Ada ketirisan berlaku dalam isu pemberian royalti minyak, sekiranya beliau berani dan ikhlas untuk membela rakyat Terengganu beliau patut menjawab dan berdebat dengan saya mengenai isu ini,” katanya dalam ceramahnya di Kuala Terengganu malam tadi.

Menurut beliau, semasa persidangan Parlimen Malaysia beberapa bulan dahulu, dalam menjawab soalan Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Presiden KeADILan itu menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Amirsham Abdul Aziz mengatakan bahawa sebanyak RM 7 billion wang royalti telah diserahkan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Trengganu.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu ketika itu, Idris Jusoh, telah menafikan jawapan Amirsham dengan mendedahkan bahawa yang diterima oleh kerajaan Negeri Trengganu hanya sebanyak RM 5 billion.

“Persoalannya, mana perginya RM 2 billion ? Kalau di ambil kira RM 400 juta yang telah diserahkan oleh Najib kepada Menteri Besar Trengganu beberapa hari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Kuala Trengganu, maka jumlah yang masih lagi hilang ialah RM 1.6 billion,” katanya lagi.

“Saya mahu, Wan Farid menuntut penjelasan mengenai ketirisan wang royalti sebanyak RM 1.6 Billion milik rakyat Trengganu yang tidak tahu hilang di mana,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: