Sabtu, 10 Januari 2009

'Sambutan luar biasa orang Cina terhadap calon PAS' - Dato' Ngeh Koo Ham

Khairul Azlam Mohamad


KUALA TERENGGANU - Sambutan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu amat luar biasa kali ini.

Pendirian tersebut dinyatakan sendiri oleh Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koo Ham hasil kempennya di Kampung Tiong dan Kampung Cina, Kuala Terengganu.

"Saya terperanjat dan begitu baik sekali sambutannya. Orang Cina sekarang bukan lagi macam orang Cina dahulu. Orang Cina takutkan PAS dan orang Melayu takutkan DAP kerana fitnah, ugutan dan 'benda-benda' (perkara) yang tidak betul," ujarnya ketika ditemui di Kampung Cina, baru-baru ini.

Katanya, pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) sering kali menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP dan menakutkan orang Cina terhadap PAS.

Menurutnya, orang Cina sekarang ini sudah terbuka minda terutama setelah melihat kepada perwatakan dan peribadi Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur, Air, Kemudahan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Perak berpendapat meski pun MB Perak dari kalangan orang PAS namun beliau seorang pemimpin yang baik.

"Orang Cina sekarang sudah terbuka terutama melihat kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar, sungguh pun dia orang PAS tetapi dia (Nizar) adalah pemimpin yang begitu baik, mentadbir dengan baik dan melayan semua orang dengan baik," jelasnya kepada Harakahdaily.

Kini katanya, orang Melayu, Cina, India dan orang Asli di seluruh negara ini telah mengetahui kesemua cerita fitnah dan bohong pemimpin Umno-BN itu.- azm/mks. _

Tiada ulasan: