Ahad, 4 Januari 2009

Presiden PAS bidas MB isu 'rekacipta' pengundi hantu

Intan Abdullah


KUALA TERENGGANU -"Kita berharap agar mahkamah SPR boleh menjamin keadilan dan menghalang daripada kesalahan pilihan raya lalu berulang,"

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membidas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang menuduh pembangkang sengaja mereka-cipta isu pengundi hantu setiap kali tibanya musim pilihan raya.

"PAS telah menemui data pengundi yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang berbeza selain alamat yang meragukan daripada senarai daftar semak pemilih yang digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR)," katanya kepada Harakah ketika merasmikan jentera pilihan raya Dun Kijal di Losong Atap Zink baru-baru ini.

Tegasnya, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri mengakui bahawa senarai semak daftar pemilih itu masih belum dibersihkan.

"Bekas pengerusi SPR sendiri mengakui ada pengundi yang meninggal dunia yang masih belum dibersihkan daripada senarai semak daftar pemilih itu, ia bukannya ciptaan.

"Bagaimana pula Umno-BN boleh menyatakan pembangkang yang sengaja buat cerita untuk mensensasikan isu pengundi hantu dalam setiap pilihan raya?"

"Jika sekiranya ianya tidak wujud, mana mungkin akhbar membuat liputan dan mengiktiraf kewujudan pengundi hantu," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ditanya mengenai tindakan pihak PAS dan Pakatan Rakyat, beliau hanya boleh berharap agar mahkamah SPR dapat menjamin perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan bersih.

"Kita berharap agar mahkamah SPR boleh menjamin keadilan dan menghalang daripada kesalahan pilihan raya lalu berulang," katanya lagi.

Beliau menyelar kenyataan Ahmad yang menghalang media daripada membuat laporan mengenai pengundi hantu yang dianggap tidak wujud dalam pilihan raya.

Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menegaskan bahawa PAS merupakan satu-satunya harapan rakyat negara ini bagi membela nasib dan hak Melayu dan Islam.

"Orang Melayu yang bukan ahli PAS mengharapkan PAS menjadi pemimpin kepada Melayu dan Islam setelah melihat Umno-BN dilanda politik wang yang teruk.

"Sudah tiba masanya Umno berundur daripada persada politik tanah air," katanya lagi kepada lebih 100 jentera yang hadir.

Terdahulu, dalam satu sidang media, Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said menyangkal sikap pembangkang yang sengaja mewujudkan istilah pengundi hantu sehingga menyebabkan media turut sama terheret bagi mensensasikannya.

Justeru, beliau menyeru kepada media agar turut sama memainkan peranan bagi mengelakkan diri mereka terikut-ikut dengan rentak yang cuba dimainkan oleh pembangkang yang ketandusan isu. - azm _

Tiada ulasan: