Rabu, 7 Januari 2009

PKR pinda perlembagaan, hadkan tempoh pegang jawatan

Oleh G.MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengkaji untuk menetapkan tempoh had memegang jawatan-jawatan utama dalam parti itu.

Ia antara beberapa cadangan utama yang sedang ditimbangkan dalam pindaaan fundamental parti tersebut.

Pengarah Strategi Nasional PKR, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya mengkaji semula tempoh bagi seseorang memegang jawatan dalam parti tersebut.

Kata beliau, tempoh pemegang jawatan itu melibatkan jawatan di semua peringkat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut pindaan yang sedang ditimbangkan partinya itu.

"Buat masa ini, saya boleh kata, kami sedana mengkaji melakukan pindaan fundamental pada perlembagaan PKR. Itu saya boleh kata sekarang," katanya kepada mStar ketika ditemui di sini, semalam.

Jawatankuasa teknikal PKR telah mengadakan mesyuarat khas di ibu negara semalam, katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa itu sedang meneliti syor yang telah dikemukakan untuk memperkemas pindaan perlembagaan parti itu.

Katanya, syor susulan jawatankuasa teknikal akan diteliti oleh Biro Politik awal bulan depan.

Kata beliau, cadangan pindaan akan dibahaskan dalam kongres khas PKR hujung bulan depan.

Ini merupakan pindaaan kedua besar-besaran melibatkan PKR yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, pindaan perlembagaan PKR melibatkan penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia yang membawa kepada nama PKR.

Saifuddin juga berkata, pindaan kali ini perlu dengan mengambil kira perubahan senario politik sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Perkara tersebut turut disahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Pengerusi PKR negeri itu.

Katanya, dengan mengambil kira perkembangan senario politik semasa, PKR perlu meminda perlembagaannya.

"Ia melibatkan perubahan struktur parti di pelbagai peringkat," katanya.

Sebagai contoh katanya, PKR perlu meneliti jumlah keanggotaan dalam sesebuah cawangan.

Kata beliau, PKR juga perlu mengambil kira kesan dan implikasi dengan wujudnya kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Sejak 8 Mac lalu, Pakatan Rakyat telah memerintah lima negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Tiada ulasan: