Khamis, 1 Januari 2009

Perak beri dermasiswa RM 3.3 juta untuk 550 pelajar miskin

Ekmal Yusoff


IPOH - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyumbangkan sejumlah lebih RM3 juta kepada pelajar-pelajarnya dari keluarga yang miskin yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pemberian ini sekaligus menyangkal sekerasnya tuduhan pembangkang Umno-BN yang menidakkan usaha kerajaan negeri memberikan bantuan dermasiswa dengan dana yang tinggi untuk anak-anak Perak melanjutkan pengajian di universiti-universiti Islam luar negara.

Demikian ditegaskan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof berhubung tuduhan tidak berasas itu.

Katnya walaupun Pakatan Rakyat baru berusia tidak sampai setahun 'jagung' tetapi tidak sekali mengabaikan tanggongjawab terhadap pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menyambungkan pelajaran mereka di Universiti-universiti Islam luar negara dengan bantuan dermasiswa mengikut kadar dana mencukupi.

"Kini Kerajaan Perak dalam usaha murni itu telah menghantar seramai 550 pelajar ke beberapa Universiti Islam luar negara dengan dermasiswa sebanyak RM3,325,000.00 demi meringankan beban tanggungan keluarga mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Zainuddin menjelaskan pecahan pelajar dan jurusan yang terdiri daripada 25 orang pelajar dalam fakulti Sarjana (Masters), 360 pelajar dalam Sarjana Muda (Mesir), 50 pelajar Sarjana Muda (Indonesia), 50 orang (Jordan), 25 orang dalam Sarjana Muda di negara-negara lain dan 40 menduduki Sarjana Muda Perubatan.

Manakala sumber dana kewanganya, tegas beliau, adalah dari Majlis Agama Islam Negeri Perak melalui bahagian Zakat yang dikutip pada sepanjang tahun dari Umat Islam negeri ini dimana hasilnya amat memberangsangkan bagi digunakan semula dalam pembangunan kehidupan ummah.

Zainuddin menyeru masyarakat Islam yang mampu menyumbang dana dan zakat disamping mendapat pahala yang besar disisi Allah SWT termasuk dapat meningkatkan ekonomi rakyat. - azm _

Tiada ulasan: