Ahad, 4 Januari 2009

Pensyarah KUIS, isteri dan anak maut dalam kemalangan

BERNAMA


KUALA SELANGOR: Seorang pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), isterinya yang hamil dua bulan dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM 537 Jalan Klang-Teluk Intan di Sungai Terap di sini hari ini.

Kemalangan berlaku kirakira 1 petang tadi.

Pensyarah itu dikenali sebagai Samsul Hamid, 30, isterinya Sumarte Jahari, 28, penolong pendaftar di Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) dan anak mereka Ammar Firdauz, 3.

Ketua Polis Trafik Selangor, Supt. Che Hussin Omar berkata suami isteri tersebut meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang, manakala anak mereka meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan ke Tanjong Karang semasa kemalangan berlaku.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang pemuda berusia 23 tahun yang memandu laju pacuan empat roda dari arah bertentangan hilang kawalan dan tergelincir lalu merempuh kereta perodua Kancil yang dinaiki keluara tersebut.

"Rempuhan itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan tersepit di bahagian depan kereta mereka yang remuk," kata Che Hussin di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba dan penyelamat dari balai berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mereka.

Sementara itu adik perempuan Sumarte, Nor Aida, 19, penuntut UiTM yang turut menumpang kereta tersebut, tidak sedarkan diri akibat kemalangan itu dan dirawat di hospital yang sama.

Che Hussin berkata pemandu pacuan empat roda terbabit yang berasal dari Kedah mengalami kecederaan di bahagian muka dan sedang dirawat di hospital itu.

Lelaki itu akan ditahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan, katanya.

Ketika kejadian, cuaca di kawasan berkenaan adalah lembap dan hujan turun renyai-renyai menyebabkan keadaan jalan menjadi licin.

Che Hussin berkata lokasi kemalangan itu merupakan salah satu daripada 33 kawasan yang dikenal pasti sebagai zon kemalangan maut di Selangor.

Beliau menasihati pemandu agar lebih berhatihati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini terutama dengan keadaan jalan yang licin setiap kali hujan turun.

"Saya juga telah arahkan semua ketua trafik daerah untuk tingkatkan penguatkuasaan perangkap laju dan tidak akan berkompromi dengan pengguna yang melanggar had laju ditetapkan serta akan mengenakan saman maksimum RM300 jika mereka didapati melakukan kesalahan," katanya.

Tiada ulasan: