Khamis, 15 Januari 2009

Pengundi KT Mungkin Ulangi Kejutan

A Kadir Jasin


SESIAPA sahaja yang berhasrat membuat ramalan mengenai keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu Sabtu ini boleh melakukannya daripada dua sudut.

Pertama sudut sejarah dan kedua daripada perspektif semasa.

Kalau dilihat daripada sudut sejarah, pilihan raya kecil ini, sama dengan PRK sebelumnya – kecuali Permatang Pauh Ogos lalu - memihak kepada Barisan Nasional.

Tetapi daripada perspektif semasa, Pas mempunyai harapan yang cukup cerah untuk merampas kerusi itu sekali lagi.

Kali terakhir Pas memenangi Kuala Terengganu adalah pada pilihan raya umum 1999 apabila calonnya, Dr Syed Azman Syed Ahmad, mengalahkan Allahyarham Abu Bakar Daud dengan kelebihan 14,132 undi.

Pada PRU itu juga BN kehilangan Negeri Terengganu kepada Pas. Penyingkiran Anwar Ibrahim dan protes terhadap Menteri Besar ketika itu, Wan Mokhtar Ahmad, adalah punca utama kekalahan BN.

Dalam enam PRU daripada PRU 1986, BN memenangi Kuala Terengganu sebanyak empat kali, Pas dan Parti Melayu Semangat 46 masing-masing sekali.

Populariti BN merudum antara PRU 2004 dan 2008. Dalam PRU 2004, Allahyarham Razali Ismail menang dengan kelebihan 1,933 undi. Dalam PRU 2008 dia menang dengan hanya 628 undi.

Sampai hari ini pun kemenangan Razali sering dikaitkan dengan personaliti beliau yang disenangi oleh pengundi.

Sekiranya BN gagal menyekat trend ini dan populariti calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, tidak sehebat Razali atau calon Pas, Abdul Wahid Endut, maka harapannya mempertahankan Kuala Terengganu adalah tipis.

Jika hasil kajian pendapat oleh Merdeka Centre di kalangan 527 pemilih Kuala Terengganu antara 1 hingga 11 Januari boleh dijadikan panduan, maka BN terpaksa melakukan yang terbaik.

Dalam kajian itu, Merdeka Centre mendapati 46 peratus pemilih Melayu dan 56 peratus Cina bercadang mengundi pembangkang.

Walaupun “sampling” kajian itu kecil berbanding bilangan pemilih Kuala Terengganu seramai 80,000, namun ia memberi gambaran yang menarik mengenai kecenderungan pemilih, khasnya pemilih Cina.

Selama ini para pembesar Umno dan BN berulang kali menguar-uarkan pemilih Cina sebagai penentu kemenangan mereka. Dalam erti kata lain, BN mengharapkan majoriti pemilih Cina mengundinya.

Reaksi responden Cina itu cukup menarik kerana pemilih Cina lazimnya tidak menyatakan siapa atau parti mana yang akan mereka undi.

Hasil kajian Merdeka Centre itu juga mengesahkan tanggapan iaitu pemilih Melayu lebih mudah diyakinkan melalui kempen dan propaganda media massa daripada pemilih Cina, khasnya dalam isu ekonomi.

Manakala 70 peratus pemilih yang ditemu ramah oleh Merdeka Centre bersetuju bahawa keadaan di Terengganu dan di seluruh negara sedang bergerak ke arah yang betul, hanya 36 peratus pemulih Cina yang berpendapat begitu.

Ini tidak memeranjatkan kerana pemilih Cina yang tinggal dalam bandar dan terbabit dengan perniagaan umumnya lebih peka terhadap ekonomi dan kerana itu lebih kritikal di dalam membuat penilaian.

Apa pun, keputusan PRK Kuala Terengganu adalah cukup kritikal bagi BN dan Pas.

Bagi BN, khasnya Umno, kemenangan boleh dikira sebagai bukti keberkesanan proses pemulihannya dan sokongan (endorsement) kepada peralihan kuasa Mac ini.

Bagi Pas pula, kemenangan sekali gus mengesahkan bahawa ia boleh berjaya walaupun tanpa sokongan atau persetujuan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam isu-isu pokok seperti Negara Islam dan Hukum Hudud.

Malah pembabitan PKR dan DAP dalam PRK Kuala Terengganu dilihat sebagai membebankan Pas daripada membantunya.

Kesimpulannya, Kuala Terengganu boleh sekali lagi membuat kejutan kerana kejutan sudah sebati dengan pemilih kerusi Parlimen ini.

Mungkin tidak ramai tahu atau sudah lupa bahawa pemilih Kuala Terengganulah yang memberi kemenangan kepada Presiden Parti Negara, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, dalam PRU 1959 dengan bantuan Pas.

Tiada ulasan: