Selasa, 13 Januari 2009

Pembelian Camry tidak jejas projek kebajikan di S'gor

MALAYSIA KINI


Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat memandang serius isu pembelian kereta Toyota Camry untuk kegunaan exco serta pegawai kanan kerajaan negeri Selangor yang didakwanya telah diputarbelitkan oleh sesetengah pihak.

Merujuk kenyataan Datuk Dr Mohd Khir Toyo dalam beberapa akhbar baru-baru ini, setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan ia mencerminkan keperibadian ketua pembangkang di Selangor itu serta kepimpinan Umno yang menurutnya, masih berfikiran cetek.

"Keputusan Pembelian Kereta Toyota Camry dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu dan bukan tahun lalu kerana belum ada peruntukan ketika itu," katanya dalam satua kenyataan hari ini.

Nik Azmi (foto) berkata, keputusan kerajaan Selangor membeli Toyota Camry sebenarnya dibuat berdasarkan sebut harga yang dihantar syarikat kenderaan dan bukannya menerusi tender terbuka kerana harganya telah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

"Pembelian kereta Toyota Camry ini sebenarnya tidak menjejaskan langsung projek-projek kebajikan "merakyatkan ekonomi Selangor" yang telah dirancang kerana kerajaan negeri sudah mempunyai bajet untuk kesemua program berkenaan," katanya.

Nik Azmi berkata, segala kecaman yang dikeluarkan oleh ketua pembangkang langsung tidak berasas, memandangkan kerajaan Pakatan Rakyat - yang baru sahaja menerajui kerajaan negeri - telah berjaya melakukan pelbagai program bagi "merakyatkan ekonomi Selangor" dengan cukup memberangsangkan.

"Lebih jelik lagi apabila beliau sewaktu memegang jawatan menteri besar sebelum ini telah meluluskan pembelian kereta Mercedes S350L menggunakan peruntukan KDEB selaku pengerusinya yang berharga RM917,214 semata-mata untuk kegunaan peribadi.

"Adakah beliau lupa akan kos besar yang ditanggung kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri akibat masalah pengurusan waktu itu?

"Adakah beliau lupa berapa banyak keuntungan dikaut pihak pemaju swasta dalam projek-projek usahasama sedangkan Kerajaan Negeri dibelakangkan," tegas Nik Azmi.

Beliau juga berkata, rakyat Malaysia juga sudah mulai sedar dan faham dengan mainan politik murahan BN.

"Ketua pembangkang seharusnya membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan agar segala komen itu dilihat lebih membina daripada menfitnah dan tidak terkena ke mukanya sendiri," tegas Nik Azmi.

Tiada ulasan: