Jumaat, 9 Januari 2009

Pas pertikai usaha kerajaan

SINAR HARIAN


KUALA TERENGGANU – Pas mempertikaikan usaha kerajaan negeri menyediakan dana RM1 juta kepada syarikat atau pengusaha bas di negeri ini bagi membolehkan mereka membeli bas baru untuk menjalankan perkhidmatan kepada rakyat.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut merujuk pemberian tersebut sebagai satu bentuk pembaziran sedangkan sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM14 juta kepada Cas Ligas Sdn Bhd dan RM11.3 juta telah diperuntukkan untuk 28 buah bas bandar di kawasan Kuala Terengganu.

Bagaimanapun katanya, peruntukan tersebut dilihat tidak mendatangkan kesan besar kepada rakyat apabila hanya dua buah bas sahaja mampu beroperasi untuk kemudahan di bandar raya ini.

“Saya timbulkan dalam dewan baru-baru ini RM14 juta diperuntukkan untuk syarikat yang baru ditubuhkan, Cas Ligas Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan RM11. 3 juta diperuntukkan untuk membeli sebanyak 28 buah bas.

“Sebanyak 28 bas yang dibeli tidak berfungsi duduk tengah panas macam itu sahaja di tengah padang. Saya tanya sebab apa, dia kata tidak boleh berfungsi kerana tidak ikut peraturan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan,” katanya kepada pemberita di Markas Pas Kuala Ibai, semalam.

Sehubungan itu katanya, perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan gagal menguruskan wang dengan baik dalam memastikan keperluan yang disediakan benar-benar boleh digunakan untuk membantu keperluan pengangkutan rakyat di negeri ini.

Beliau turut mempersoalkan sampai bila kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah pengangkutan bas sambil melihat pembaziran duit rakyat terus mengalir begitu sahaja.

“Sampai bila nak selesai masalah ini dan sekarang timbul pula masalahnya nak bagi duit untuk beli bas. Saya pun tak fahamlah masalah ini,” katanya.

Tiada ulasan: