Isnin, 5 Januari 2009

PAS jamin insiden tahan bas pengundi hantu tidak berulang

BERNAMA


SHAH ALAM: PAS memberi jaminan bahawa insiden menahan beberapa bas yang didakwa membawa pengundi hantu ke Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum Mac lepas, tidak akan berulang pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan, 17 Januari ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata beliau sudah mengarahkan semua petugas di kawasan pilihan raya itu supaya sentiasa mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis berhubung perjalanan pilihan raya berkenaan.

"Dan jika ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku semasa tarikh pengundian pilihan raya kecil berkenaan, maka saya di sini memberikan jaminan bahawa ia tidak akan datang daripada pihak kami dari PAS," katanya selepas menghadiri Majlis Pertemuan Anak-anak Terengganu di Perantauan Bersama 'Abdul Wahid Endut' di Dewan Perpustakaan Awam Selangor di sini petang ini.

Turut hadir pada program itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa lelaki, dipercayai penyokong PAS, pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, bertindak agresif menahan sembilan bas yang membawa sekumpulan pelajar universiti dari Lembah Klang dan Utara tanah air untuk mengundi di kawasan masing-masing sekitar Kuala Terengganu, kerana mendakwa bas terbabit membawa pengundi hantu.

Sementara itu, Mustafa dalam ucapannya berkata pilihan raya kecil kali ini penting kepada PAS dan Barisan Nasional (BN) kerana ia akan menjadi petunjuk tentang apa yang akan berlaku di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Kalau pada pilihan raya ni BN dapat kekalkan kemenangan maknanya kita akan ada masalah tapi kalau (PAs) menang, peluang untuk menang dan perintah semula Terengganu masa PRU 13 nanti amat cerah," katanya.

Beliau berkata pertemuan anak-anak Terengganu yang berada di perantauan bersama Abdul Wahid hari ini merupakan yang pertama dan terakhir kerana selepas ini calon itu akan memberi tumpuan untuk berkempen di Kuala Terengganu.

"Tapi kita akan buat juga pertemuan serupa ini di beberapa tempat tanpa beliau bagi memujuk pengundi kita balik mengundi," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam akan ditentang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.

Tiada ulasan: