Ahad, 4 Januari 2009

Panel tiga anggota ditubuh siasat MIED

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Satu panel tiga anggota telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyelewengan pemberian kontrak oleh sayap pendidikan MIC, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) bagi Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) milik parti itu, demikian menurut sumber-sumber.

Mereka menyatakan Lembaga Pengarah MIED, yang bermesyuarat pada Jumaat lalu, melantik bekas bendahari agung MIC, Tan Sri K.S. Nijhar, untuk mengetuai panel penyiasatan itu.

Difahamkan dua lagi anggota panel ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC, Tan Sri G. Vadiveloo.

Sumber parti mendedahkan panel itu diwujudkan atas arahan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Velu semasa mesyuarat itu.

Ketika dihubungi, Nijhar mengesahkan pembentukan panel berkenaan dan siasatan rasmi masih belum bermula.

"Saya baru melihat kesemua dokumen berkenaan dan belum lagi meneliti butiran kontrak. Panel ini akan mengadakan pertemuan sebaik sahaja saya mengkelaskan dokumen. Panel ini dibentuk bukan untuk mengenakan sesiapa tetapi untuk memastikan semua perkara dalam keadaan teratur," katanya.

Difahamkan panel itu telah memperoleh kesemua fail berhubung dakwaan penyelewengan itu daripada pejabat MIED.

Dua minggu lepas, Samy Velu memecat Setiausaha Agung MIC, Tan Sri M. Mahalingam, 73, dengan menyatakan parti itu memerlukan tokoh muda bagi memegang jawatan itu sebagai satu daripada usaha penjenamaan semula MIC.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany, 51, dilantik menggantikan Mahalingam.

Sumber mendedahkan presiden parti berasa bimbang dengan pemberian kontrak yang didakwa ditawarkan pada nilai yang begitu besar.

Mereka berkata panel itu akan turut menyiasat dua kontrak kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan MIC.

Kos pembinaan AIMST, yang mula beroperasi setahun lepas, melonjak daripada anggaran asal RM230 juta kepada RM500 juta dalam tempoh 12 bulan, kata sumber.

Sementara itu, Mahalingam ketika dihubungi berkata beliau bersedia untuk disoal-siasat oleh panel berkenaan.

"Bagi saya, tiada apa yang hendak disembunyikan. Saya melakukan seperti apa yang diarahkan Presiden (MIC). Tiada penyelewengan dana atau kontrak pada pihak MIED," katanya.

Tiada ulasan: