Sabtu, 10 Januari 2009

Pakatan mahu semua parti tidak jadikan agama bahan kempen

Oleh G.MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Parti-parti politik tidak seharusnya menggunakan isu agama sebagai bahan kempen dalam mana-mana pilihan raya khususnya ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu sekarang, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Sambil merujuk kepada undang-undang hudud yang menjadi perhatian dalam pilihan raya kecil di sini, Tian Chua, Pakatan Rakyat mempunyai pendirian bersama bahawa isu-isu agama tidak wajar dijadikan bahan untuk memancing undi.

"Saya merasakan bahawa isu hudud tidak seharusnya dibangkitkan dalam piliah raya kecil. Isu agama tidak wajar dipolitikkan.

"Jangan menggunakan isu agama dalam pilihan raya," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

PKR, kata Tian Chua, telah memutuskan tidak akan menggunakan aspek-aspek agama sebagai bahan semasa kempen pilihan raya.

"Kami mempunyai pemahaman bersama untuk tidak menggunakan agama sebagai isu kempen," kata beliau ketika mengulas mengenai tindakan PAS mahu meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud yang turut menjadi bahan berkempen dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen di sini.

Kata Tian Chua, Pakatan Rakyat telah memaklumkan PAS bahawa isu undang-undang hudud perlu dibincangkan bersama parti komponen jika mahu dilaksanakan.

"Biarkan isu undang-undang dibahas dan dibincangkan dalam forum yang sesuai," kata beliau sambil menolak anggapan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat sudah mula berlembut dalam soal itu.

"Pendirian kami tetap sama sejak dulu lagi, isu agama tidak dijadikan bahan berkempen," katanya.

Tiada ulasan: