Sabtu, 3 Januari 2009

Pahang, Kelantan dilanda banjir lagi

BERNAMA


KUANTAN: Hujan yang berterusan sejak malam semalam mengakibatkan 106 orang daripada 28 keluarga di daerah Kuantan terpaksa dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka mula dilanda banjir.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, usaha pemindahan mula dijalankan sejak 9.30 pagi di tiga kawasan selepas air naik setinggi 1.2 meter.

"Kawasan itu ialah Kampung Jeliang dan Pekan Sungai Lembing melibatkan 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di Balai Polis Sungai Lembing manakala empat orang dari Kampung Paya, Panching pula ditempatkan di Dewan Serbaguna Panching," katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, tiga batang jalan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan iaitu KM9 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Jalan Pekan-Nenasi dan KM36 Jalan Kuantan-Maran.

Sementara itu, katanya usaha menyelamat sedang dijalankan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam bagi mengeluarkan 10 orang yang terperangkap di Sungai Bekelah dekat sini.

Katanya pihaknya menerima laporan pada 10 pagi ini selepas mangsa yang sedang berkelah di situ tidak dapat keluar apabila air sungai mulai naik.

Sementara itu di KOTA BAHARU, beberapa daerah di Kelantan hari ini mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak Khamis lepas tetapi setakat ini masih tiada mangsa banjir yang dipindahkan.

Daerah berkenaan ialah Rantau Panjang, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Malahan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang telah melebihi paras bahaya dengan catatan 9.2 meter.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan paras air di lima sungai utama negeri ini berada di atas paras berjaga-jaga iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungair Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam.

Manakala paras air di Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Jenob melebihi paras biasa.

Pengawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata jalan dari Pasir Puteh ke Kota Baharu ditutup kepada kenderaan ringan pagi ini berikutan ditenggelami air antara 0.1 meter hingga 0.3 meter di Kampung Bukit Abal Tiga.

Beliau berkata keadaan itu sebagai fenomena sementara dan ia akan pulih seperti sediakala sekiranya hujan berhenti selama sejam.

Tinjauan mendapati beberapa buah kampung di Pasir Puteh turut ditenggelami air sedalam antara 0.2 meter hingga 0.4 meter termasuk di Kampung Bukit Abal, Sungai Kelong dan Kampung Saring.

Bagaimanapun setakat ini tiada penduduk yang berpindah walaupun air hampir mencecah lantai rumah mereka.

Di PASIR MAS, air mula naik di Kampung Chetok Hilir dan beberapa kawasan lain berikutan hujan lebat.

"Kalau hujan lebat memang mudah air bertakung di kawasan ini, harap-harap tidak banjir teruk lah kali ini," kata Mohd Sabran Mustafa, 25, penduduk kampung itu ketika ditemui.

Tiada ulasan: