Rabu, 14 Januari 2009

Najib: Kuala Terengganu boleh dimenangi BN tapi syaratnya...

Oleh G. MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Ketika tinggal empat hari menjelang hari pengundian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, Kuala Terengganu merupakan satu kerusi yang memang boleh dimenangi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa "sama ada kita boleh berjaya atau tidak, ia bergantung kepada beberapa faktor."

"Antaranya jentera kita dan usaha yang kita lakukan, bagaimana kita boleh menangkis pembangkang," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Timbalan Perdana Menteri Bersama usahawan Terengganu dan Pecah Tanah Menara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) di sini hari ini.

Hari pembuangan undi pilihan raya kecil ini ialah Sabtu ini.

Bahagian Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pemilih berdaftar.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat pengundi Cina dan India adalah penting kali ini, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata:

"Pada saya semua undi itu adalah penting... (seramai) 88 peratus terdiri daripada Melayu. Kalau kita dapat bilangan undi yang besar daripada kalangan Melayu, jadi undi Cina dan India cuma tambahan sahaja.

"Kalau undi Melayu sama banyak antara PAS dan Umno, jadi undi Cina dan India akan menentukan kemengangan atau tidak. Ia bergantung pada premis pertama itu," kata beliau yang berada di sini hampir setiap hari kecuali Rabu sejak Isnin lalu.

Jelas beliau, tinjauan pihaknya menunjukkan arah aliran sokongan bertambah baik sehari dua ini bagi BN.

"Kita berharap momentum itu akan berterusan untuk memberi kemenangan kepada BN," katanya.

Timbalan Presiden Umno itu menambah, beliau telah mengarahkan bahawa jentera BN mesti bergerak dengan penuh komited sehingga tempoh akhir kempen.

"Kita tak boleh memandang perkara ini sebagai mudah, ini satu persaingan yang hebat, tetapi jika kita bersatu dan fokus untuk mencapai kejayaan, maka Insya-Allah kita boleh menang," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa BN sudah mula menggunakan pendekatan berkempen secara defensif.

"Tak ada (kempen) defensif, malam tadi di (kawasan) Cabang Tiga, kehadiran kira-kira lebih 5,000," kata beliau sambil menambah bahawa BN mengingatkan pengundi di Kuala Terengganu supaya jangan lupa segala kekurangan dan janji-janji yang tidak dilaksanakan oleh PAS."

"Kita tekankan (aspek ini) dalam ceramah-ceramah kita," katanya.

PAS menerajui kerajaan negeri dari 1999 hingga 2004.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kecenderungan pembangkang ialah mengamalkan pendekatan populis.

"Kita ini lebih untuk memikir bukan sahaja (membabitkan) jangka pendek, tetapi jangka panjang. Jadi kita tak boleh menguruskan ekonomi berdasarkan pertimbangan jangka pendek sahaja.

"Kita melaksanakan sesuatu selepas memikirkan perkara untuk tempoh jangka panjang. tetapi pembangkang akan memainkan isu untuk populariti semasa," ujar beliau.

Tiada ulasan: