Rabu, 14 Januari 2009

Najib: Kenyataan Kit Siang bukan penentu pilihan raya umum

Oleh G. MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang bakal mengambil alih kepimpinan kerajaan Mac ini berkata, beliau tidak akan memanggil pilihan raya ke-13 hanya "berdasarkan kenyataan Lim Kit Siang."

"Saya tidak akan mengadakan pilihan raya (tergempar) berdasarkan apa yang Kit Siang (Penasihat DAP) kata," kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Timbalan Perdana Menteri Bersama usahawan Terengganu dan Pecah Tanah Menara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) di sini hari ini.

Pada ceramah perdana selepas penamaan calon Selasa lalu, Lim berkata, beliau percaya Najib yang akan menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan pilihan raya umum ke-13 - pilihan raya tergempar penghujung tahun ini.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya tidak akan membuat pertimbangan mengadakan pilihan raya hanya semata-mata kerana persekitaran penghujung tahun.

"Kita tidak akan membuat pertimbangan berdasarkan akhir tahun, apa signifikan akhir tahun ini?," kata beliau sambil menambah bahawa "beliau (Lim) acah sahaja."

"Beliau acah nak suruh kita respons. Saya fahamlah... saya tahu permainan mereka. Jangan risau, kita ada keputusan kolektif untuk memanggil pilihan raya," katanya.

Pilihan raya umum ke-12 diadakan 8 Mac lalu genap empat tahun selepas pilihan raya umum 2004.

Abdullah memanggil pilihan raya umum ke-11 enam bulan selepas mengambil alih kepimpinan pada Oktober 2003.

Tiada ulasan: