Isnin, 5 Januari 2009

Kuala Terengganu 'ceria', sambut kemunculan calon esok

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 2 PETANG]


KUALA TERENGGANU: Selepas 10 bulan pilihan raya umum ke-12, kerusi Parlimen Kuala Terengganu sekali lagi menjadi tumpuan ekoran pilihan raya kecil kerusi Parlimen.

Tinggal kurang 15 jam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan urusan penamaan calon bagi menentukan wakil rakyat yang baru bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Esok merupakan hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 17 Januari dengan kempen selama 11 hari.

Empat calon dijangka turun gelanggang kali ini.

Mereka termasuklah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang akan mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Abdul Wahid Endut (PAS) dan dua calon Bebas termasuk seorang tanpa parti iaitu Isma Airfath Hassanuddin dan seorang dipercayai daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad.

ATUR CARA PROSES PENAMAAN CALON

- 9 hingga 10 pagi : Sesi serah penamaan borang

- 10 hingga 11 pagi : Sesi bantahan pencalonan

- 11.30 pagi - 12 tengah hari - Status calon diumumkan

Beberapa pemimpin BN dan PAs yang ditemui menyifatkan pertandingan kali ini dilihat sangat penting bagi kedua-dua BN dan PAS yang masing-masing mahu mempertahankan dan merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai 80, 229 pemilih.

BN mengharungi saingan di bawah tema "BN Mesra Rakyat" manakala PAS membawa tema "Perubahan Untuk Kemenangan Rakyat".

Tinjauan mStar Online sehingga petang ini mendapati penyokong-penyokong parti dan calon yang bakal bertanding sudah bersemangat untuk menghadapi hari penamaan calon di Stadium Negeri di sini, pagi esok.

Begitu juga dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kira-kira 20,000 dijangka berkumpul di ibu negeri Terengganu ini untuk meraikan hari penamaan calon tersebut.

Setakat semalam, sembilan borang penamaan calon telah dikeluarkan oleh SPR.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mengendalikan proses penamaan calon dengan lancar esok.

Sementara itu, Isma ketika dihubungi mStar Online pagi tadi mengesahkan akan bertanding.

"Ya, saya akan bertanding" kata Isma yang sebelum ini memberitahu bahawa bertanding dalam pilihan raya adalah satu hobi baginya.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum lepas, Razali menewaskan Mohamad Sabu (PAS) dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Sejak semalam, Kuala Terengganu sudah dibanjiri dengan pemimpin-pemimpin kanan dan nasional parti-parti yang bertanding untuk menambah kemeriahan hari penamaan calon kali ini.

Ini termasuklah dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Prsiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengetuai rombongan bagi mengiringi calon mereka, Wan Ahmad Farid.

Sebagai tanda memperkenalkan calon BN sekali lagi, Najib ketika berucap merasmikan Hotel Felda Residence di sini pagi tadi berkata: "Saya boleh sahkan, esok beliau (Farid) akan jadi calon. Tak ubah fikiran."

Farid, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, yang turut hadir pada majlis tersebut bangun dari pentas lalu melambai ke arah orang ramai yang hadir.

Najib mengumumkan Farid sebagai calon BN lebih dua minggu lalu.

Farid telah meletakkan jawatan sebagai Senator berkuat kuasa hari ini.

Cuaca hujan yang bermula sejak tiga hari lepas juga menjadi faktor penting yang menjadi perhatian kepada pilihan raya ini.

Tiada ulasan: