Selasa, 6 Januari 2009

Kes Munawar ditangguh

Hafiz Yatim


Permohonan Munawar A Anees supaya disemak semula sabitan hukuman tuduhan liwat ke atasnya, telah ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan, untuk membolehkan pasukan peguamnya mengkaji alasan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan.

Peguam Americk Singh memberitahu Hakim Datuk James Foong bahawa beliau memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji penghakiman bertulis, yang hanya diterima dari Mahkamah Persekutuan hujung bulan lalu.

Dalam penghakiman lisan pada 30 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk menyemak smula sabitan dan hukuman enam bulan penjara ke atas Munawar.

Timbalan pendakwaraya, Eddie Yeo tidak membantah penangguhan tersebut. Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan oleh panel tiga hakim, termasuk Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Munawar yang hadir di mahkamah hari ini, merupakan penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi timbalan perdana menteri sehingga September 1998.

Munawara mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada 19 September 1998, kerana membenarkan Anwar meliwatnya di rumah Anwar di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara pada Mac 1993.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, yang mendengar kes itu bersama dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi dan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, telah menyenaraikan dua alasan untuk menolak permohnan Munawar itu.

Tiada ulasan: