Khamis, 8 Januari 2009

JAKIM sahkan beberapa lagi aduan blog hina Nabi

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengesahkan menerima beberapa lagi aduan mengenai kewujudan laman blog yang menghina Islam dan al-Quran.

Seorang pegawai Bahagian Perhubungan Awam JAKIM ketika dihubungi berkata aduan orang ramai mengenai laman blog tersebut diterima sejak beberapa hari lepas melalui laman portal JAKIM.

Bahagian Aduan JAKIM telah menghantar aduan tersebut ke Bahagian Penyelidikan untuk disiasat bagi memastikan sama ada blog yang menggunakan nama seorang wanita Melayu itu adalah benar-benar milik wanita berkenaan atau laman blog tersebut dibina oleh pihak lain dengan menggunakan nama wanita tersebut, kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.

Bagaimanapun JAKIM enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pemilik laman blog berkenaan.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Permai Hafiz Malek mendedahkan mengenai blog yang menghina Islam dan mengelirukan umat Islam itu telah wujud sejak minggu lalu.

Blog tersebut dikatakan cuba memecahbelah dan memesong pendirian umat Islam melalui internet, katanya.

Beliau berkata sehingga malam tadi seramai 1,700 orang telah melawat laman blog itu.

Tiada ulasan: