Selasa, 13 Januari 2009

Idris Jusoh pulau kempen calon BN?

HARAKAH DAILY


Retak menunggu belah. Mungkin ini perumpamaan mudah untuk menggambarkan pertelingkahan berterusan antara Dato' Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar sekarang, Dato' Ahmad Said.

Difahamkan kumpulan Idris yang masih mempunyai pengaruh di Terengganu akan memulaukan kempen Barisan Nasional (BN) biar pun Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh pernah menjadi orang harapannya sebelum ini.

Namun kini dikatakan mereka sudah berpatah arang. Wan Farid sekarang menjadi taruhan kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sehingga ramai berpendapat ia tidak disenangi Dato' Seri Najib Razak.

Idris terlepas segala kuasa biar pun sebelum ini pernah menjadi orang harapan kepada Abdullah. Hari ini beliau tidak lagi mempunyai apa-apa, sekadar Adun Jertih.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Kajian Strategik Negeri Kelantan, Ibrahim Mamat berkata, terdapat desas desus kumpulan Idris akan meninggalkan markaz dan pos-pos Umno menjelang hari pengundian.

"Mereka dikatakan akan meninggalkan Kuala Terengganu sebagai usaha memprotes calon Umno yang kini difahamkan sudah membelakangi Idris," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau juga berkata, pemimpin Umno dari Kuala Lumpur sudah kelihatan letih bagi menjelaskan kepada rakyat calon BN mudah mesra, sedangkan hakikat yang berlaku orang ramai sudah lama tahu.

"Pemimpin Umno lain sudah tidak sanggup berpura-pura dengan sikap peribadi Wan Farid yang dikatakan tidak mempunyai ciri-ciri sebagai wakil rakyat," ujar beliau.

Beliau juga berkata, suasana pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak sehebat seperti apa yang berlaku di Permatang Pauh pada Ogos lalu.

Ibrahim juga berkata, rakyat Terengganu tidak usah takut dengan ugutan pemimpin BN kononnya akan menyinsihkan Terengganu sekiranya mengundi calon Pakatan Rakyat.

Ini kerana kata beliau kerajaan Persekutuan tetap meneruskan pelbagai projek di Kuala Terengganu memandangkan ia menjadi tanggungjawab yang termaktud dalam perlembagaan.

"Adalah lebih baik memberi kemenangan kepada calon PAS supaya masalah rakyat dapat diketengahkan ke Parlimen sedangkan kemenangan calon BN akan membuatkannya lebih syok sendiri," ujarnya.

Beliau juga melihat berlaku reformasi di kalangan pengundi Cina kepada calon PAS terutamanya yang tinggal di kawasan Dun Bandar.

Mengenai janji Najib mahu mengekalkan Wan Farid sebagai Timbalan Menteri jika menang di Kuala Terengganu katanya, ia tidak mampu menarik pengundi kerana rakyat sudah lama kenal siapa calon tersebut.

Tiada ulasan: