Khamis, 8 Januari 2009

Gerak buat aduan rasuah terhadap GLC

Jimadie Shah Othman


Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) pagi ini tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kes rasuah dan penyelewengan dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama yang didakwa melibatkan wang bernilai jutaan ringgit.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus (tengah) tiba di SPRM pada kira-kira jam 11 pagi bersama tiga lagi pengadu dan menyerahkan salinan dokumen yang menyokong dakwaan mereka.

Dokumen tersebut yang dijilid kemas dalam bentuk dua buah buku – satu setebal lebih 300 mukasurat, sebuah lagi 150 mukasurat – diserahkan kepada dua pegawai bahagian siasatan suruhanjaya berkenaan.

Bercakap dalam sidang media selepas perbincangan satu jam bersama dua pegawai suruhanjaya tersebut, Nazree bagaimanapun enggan mendedahkan nama GLC terbabit, butiran terperinci aduan dan maklumat pengadu, dengan alasan perkara itu “masih dalam siasatan”.

Butiran lain termasuk jumlah sebenar wang yang diseleweng, pihak yang menyelewengkannya dan butiran lanjut kejadian, juga enggan didedahkan dalam sidang media kira-kira 15 minit di hadapan ibupejabat SPRM di putrajaya.

Katanya, kes tersebut hanya didakwa melibatkan “ramai orang” dan hasil pertemuan Gerak dengan pengadu tiga bulan lalu, mendapati dakwaan itu “ada asas”.

'Pihak tertindas'


Tindakan Nazree itu menyebabkan kira-kira sepuluh wartawan dan jurugambar yang hadir kecewa dengan tindakannya yang hanya menunjukkan kulit luar dokumen berkaitan, tetapi enggan mendedahkan kandungannya.

Nazree yang mengambil alih jawatan pengerusi Gerak dari Ezam Mohd Nor tahun lalu – hanya menggambarkan pengadu sebagai “pihak yang ditindas” dan “tidak bekerja di GLC itu tetapi mempunyai kaitan dengannya”.

Pengadu didakwa ditindas pihak di GLC itu kerana membuat aduan yang sama kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) – badan yang sama sebelum dinaiktaraf menjadi suruhanjaya. Aduan tersebut dibuat 15 tahun lalu, pada pada 1993.

Menurut Nazree, hari ini mereka tampil ke SPRM sekali lagi kerana laporan sebelum ini tidak diambil tindakan, dan perjalanan siasatannyanya tidak memuaskan hati pengadu.

Seorang pengadu yang ditemui sebelum itu juga enggan mengulas lanjut dan sebaliknya meminta “tunggu kenyataan dari Nazree”.

Menurut Nazree, pagi esok mereka akan datang sekali lagi ke suruhanjaya itu untuk bertemu pengarah bahagian siasatan Datuk Mohd Shukri Abdul berhubung aduan mereka itu.

Tiada ulasan: