Jumaat, 9 Januari 2009

Calon Bebas boleh pecahkan undi Umno

Lanjusoh


KOTA BHARU - Nampaknya impian Umno mahu memecahkan undi di kalangan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat gagal menjadi kenyataan apabila calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) tidak jadi bertanding.

Begitu juga dengan kehadiran calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam yang lengkap berjubah dan kopiah pada hari penamaan calon, seolah-olah berimej PAS juga sudah dikenali di kalangan pengundi di Kuala Terengganu.

Malah ayah calon Bebas ialah Setiausaha Politik kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ketika menjadi Menteri Besar Terengganu.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Rahman Yunus berkata, taktik awal Umno mahu memecahkan undi di kalangan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat nampaknya tidak lagi menjadi kenyataan.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang undi Umno pula akan berpecah dua.

"Ini kerana ramai penduduk di Kuala Terengganu mengenali ayah kepada calon Bebas kerana dia orang kanan kepada bekas Menteri Besar Terengganu," katanya di sini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian berkata, sepanjang berada di kawasan pilihan raya kempen pemilihan Umno lebih rancak berbanding kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Katanya pemimpin-pemimpin Umno yang datang ke situ menggunakan kesempatan meraihkan sokongan untuk bertanding pada Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

Menurutnya ramai datang ke Kuala Terengganu untuk melobi sesama sendiri dan bukannya menemui penduduk tempatan.

"Dato' Seri Najib Razak tidak boleh mengelakkan kehadiran pelobi Umno untuk berkempen di Kuala Terengganu. Keadaan ini memberi kelebihan kepada calon PAS," katanya di sini.

Menurutnya juga Umno tidak dapat memainkan isu pembangunan bagi menarik sokongan rakyat kerana biar pun negeri itu kaya, namun rakyatnya ramai yang miskin.

Kata beliau kemiskinan penduduk tempatan dapat dilihat terutamanya di Kampung Losong yang terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu. - mj_

Tiada ulasan: