Isnin, 12 Januari 2009

Banjir di Sarawak dijangka semakin buruk

BERNAMA


KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak dijangka semakin buruk dengan jumlah kawasan rendah yang ditenggelami air akan meningkat khasnya di wilayah tengah negeri ini iaitu membabitkan bahagian Sibu dan Bintulu selain Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman.

Ini berikutan air pasang tinggi sekitar 6.2 meter diramal berlaku pada kirakira pukul 7 malam ini dan ia dijangka memburukkan lagi keadaan jika hujan masih berterusan di hulu Sungai Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, setakat ini 9,587 penduduk daripada 1,474 keluarga dipindahkan ke 37 pusat pemindahan banjir di seluruh Sarawak berbanding 3,773 daripada 629 keluarga petang semalam.

"Seramai 8,223 orang daripada 1,215 keluarga adalah di Bahagian Kuching. Kebanyakan mereka ialah penduduk kawasan Bau dan sekitar bandar raya Kuching," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Bilik Gerakan Bencana Negeri di sini, hari ini.

Dr Chan berkata, walaupun jumlah taburan hujan di Bahagian Kuching hari ini sekitar dua milimeter, jumlah air di kawasan tadahan hujan di Sungai Sarawak Kanan dan Sungai Sarawak Kiri masih tinggi dan berbahaya kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah.

Beliau berkata, banjir di negeri ini sehingga kini turut menyebabkan tiga rumah di Kampung Pasir Pandak berhampiran Santubong roboh akibat dipukul ombak.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Dr Julaihi Bujang berkata sebanyak 104 sekolah termasuk 10 sekolah menengah di seluruh Sarawak terpaksa ditutup hari ini akibat banjir.

Tiada ulasan: