Sabtu, 3 Januari 2009

Analisis: Pengundi Cina tidak kekok bersama PAS

Intan Abdullah


KUALA TERENGGANU - "Tiada apa-apa manfaat yang boleh diperolehi rakyat selain kerajaan sahaja yang menikmatinya, samalah dengan isu royalti."

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pasti akan mencatatkan sejarah jika arus perubahan 'tsunami'politik terus melanda kawasan tersebut.

Harapan yang tinggi tersebut disuarakan penduduk sekitar Kampung Tiong, Kuala Terengganu yang tinggal di tengah-tengah bandar raya yang menjadi ibu negeri Terengganu serta terkenal dengan negeri yang kaya dengan 'emas hitam'(Petroleum).

Dengan kekayaan yang diperolehi hasil jualan minyak tersebut, Terengganu sememangnya mempunyai hak mendapat royaltinya yang diumumkan kerajaan pusat sebaik pengumuman mengenai tarikh pilihan raya kecil parlimen tersebut dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tinjauan Harakah mendapati, rata-rata penduduk bukan Melayu yang tinggal di bandar Kuala Terengganu kini berdepan dengan masa depan mereka yang tidak ketentuan apabila peluang perniagaan di kawasan tersebut tidak mengalami apa-apa perubahan.

Setelah Kuala Terengganu dinaikkan taraf sebagai Bandaraya, mereka berharap nasib mereka untuk terus tinggal dengan peluang perniagaan yang semakin menggalakkan, namun ternyata harapan tersebut 'kosong' dan tinggal kenangan apabila tiada sebarang inisiatif diambil pihak kerajaan negeri apatah lagi ahli parlimen yang lalu bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Malah tidak kurang pula mereka yang masih tinggal dalam keadaan kesempitan di celah-celah bangunan tengah bandaraya, yang dibangga-banggakan oleh kerajaan Umno-BN itu.

Pada masa yang sama, mereka turut marah dengan kerajaan negeri yang mengenakan semula cukai pintu rumah kediaman kepada rakyat sejak tahun 2005 sebaik sahaja kerajaan PAS tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 lalu.

Pengerusi DAP Cawangan Kuala Terengganu, Ng Chai Hing berkata cukai pintu tersebut pernah dihapuskan ketika kerajaan negeri di bawah tampuk pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004 dan kembali dikuatkuasakan semula setelah BN mengambil alih pentadbiran negeri daripada PAS dalam PRU ke-11.

Selain itu, projek Monsun Cup yang dianjurkan kerajaan negeri juga ternyata tidak memberikan apa-apa pulangan kepada rakyat Terengganu. Ini kerana pelancong langsung tidak memberikan fokus kepada bandar Kuala Terengganu selain hanya mengikuti program di Pulau Duyong sahaja.

"Tiada apa-apa manfaat yang boleh diperolehi rakyat selain kerajaan sahaja yang menikmatinya, samalah dengan isu royalti. Kita tidak pasti sama ada rakyat berpeluang menikmatinya atau sekadar pihak tertentu sahaja," kata seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ong, 50.

Tanggung kerugian banyak dibawah BN


Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil juga, penduduk bukan Melayu di bandaraya Kuala Terengganu tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan pekerjaan mereka ditambah dengan tekanan kemelesetan ekonomi selepas kenaikan harga minyak sehingga menyebabkan harga barang melambung tinggi.

"Kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak, dan kerajaan tidak berbuat apa-apa yang mengurangkan beban kami," kata seorang suri rumah,Seng, 41.

Kini, sebahagian besar daripada mereka terpaksa berhijrah ke daerah lain seperti Wakaf Tapai dan Chendering bagi mencari ruang yang lebih dalam meningkatkan punca pendapatan mereka.

"Mereka sudah kecewa dengan janji-janji kosong yang ditabur oleh BN untuk menaikkan taraf bandar Kuala Terengganu ini," katanya lagi.

Mereka kini telah dapat menilai dan berfikir tindakan yang diambil oleh pimpinan kerajaan negeri pada zaman pemerintahan Menteri Besar sebelum ini, Dato' Seri Idris Jusoh yang kaya dengan projek-projek mega menelan kos beratus-ratus juta ringgit.

Selepas itu, beliau digantikan dengan Dato' Ahmad Said yang masih belum melaksanakan sebarang agenda yang jelas untuk pembangunan negeri.

Beliau kelihatan lega apabila berlakunya pilihan raya kecil ini selepas kerajaan pusat mengumumkan untuk membayar wang royalti berjumlah RM408.6 juta kepada kerajaan negeri.

Walaupun segalanya masih belum jelas, tetapi harapan untuk Ahmad mendapatkan peruntukan itu telah dijanjikan oleh kerajaan pusat.

Menurut Chai, 36, sebahagian daripada ahli MCA juga kini sudah kian beralih arah kepada Pakatan Rakyat selepas mereka tidak dipedulikan oleh pihak BN dalam hal kebajikan dan pembangunan setempat.

"Hal tersebut ternyata mengecewakan mereka sehingga mereka bertekad untuk melakukan perubahan dalam pilihan raya kali ini. Mungkin inilah peluang untuk perubahan," katanya lagi.

Penduduk Cina dan kaum lain kelihatan tidak kekok dan sudah tidak takut lagi kepada PAS yang dimomokkan dengan imej ekstrem oleh Umno-BN.

Malah, mereka bersedia untuk menerima penjelasan mengenai isu-isu yang mengelirukan sebagai propaganda Umno menjelang 17 Januari ini. - azm _

Tiada ulasan: