Khamis, 15 Januari 2009

Abadi nama Razali Ismail langkah terdesak BN

Mat Zain Mat Isa


Barisan Nasional (BN) ternyata amat tertekan dengan perkembangan kecenderungan pengundi yang dikatakan tidak begitu memihak kepada parti itu di Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang sedang berlangsung.

Dengan tempoh kempen hanya berbaki tidak sampai tiga hari lagi, BN kelihatan amat terdesak melakukan apa saja demi meraih undi. Terbaru ialah pengumuman Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, untuk mengabadikan nama Allahyarham Datuk Razali Ismaildi dua buah institusi pendidikan di Kuala Terengganu.

Menurut Hishammuddin, dua institusi yang terpilih itu ialah Institut Perguruan Kuala Terengganu (IPKT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar.

Katanya, kedua-duanya masing-masing akan dikenali sebagai Institut Perguruan Dato' Razali Ismail dan SMK Dato' Razali Ismail.

"Majlis pemasyhuran nama Allahyarham di dua institusi pendidikan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini," kata beliau dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, Selasa (13 Januari).

Pernah jadi pengetua


IPKT terletak di Wakaf Tengah, Batu Rakit, dalam Parlimen Kuala Nerus. Pemilihannya tidak dipertikaikan memandangkan Razali pernah menjadi pengetua di situ.

Pemilihan SMK Bandar bagaimana pun sedikit menyerlahkan maksud sebenar BN. Sekolah itu terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok, Kuala Terengganu.

Razali berasal dari Kuala Berang. Maka banyak pihak merasakan sekolah paling sesuai diabadikan nama beliau ialah di sekitar bandar berkenaan. Ia tentu lebih dibanggakan dan lebih memberi erti kepada masyarakat setempat apabila nama anak tempatan mereka diabadi di sesuatu institusi.

Namun BN memilih sebuah sekolah di Kuala Terengganu. Sudah tentu ia bagi menepati gerakerja kempen pilihan raya yang sedang berlangsung. Masakan Timbalan Perdana Menteri mahu berkempen ke Kuala Berang pula pada saat ini?

Apa pun dilakukan BN, ia jelas membuktikan suasana terdesak parti itu menghadapi saat pengundian, Sabtu ini.

Sikap PAS dalam menyambut penghargaan terhadap Razali amat jelas. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut, dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia, Ahad lalu, tanpa hipokrasi menyanjung tinggi profesionalisme dan komitmen Razali, terutama dalam menjalankan tugas diamanahkan kepadanya. "Saya kenal Allahyarham Razali. Allahyarham seorang profesional dan tidak mengamalkan rasuah ... Allahyarham tidak pilih bulu dalam menjalankan tugas," ujarnya.

Orator berbobot

Harakah 12 Januari lalu turut memuatkan rencana penulis yang ada menyentuh tentang Razali. Beliau diakui seorang orator sangat berbobot, motivasinya mampu meninggalkan kesan mendalam kepada para guru.

Razali juga seorang yang mempunyai jasa bakti sangat besar terutama kepada sektor pendidikan negara, sehingga layak digelar tokoh pendidikan yang ulung.

Malangnya, orang baik dan komited seperti itu tidak diberikan tempat sewajarnya dalam Umno Bahagian Kuala Terengganu. Beliau tersingkir apabila tewas di tangan abang calon BN, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dalam pemilihan jawatan naib ketua bahagian.

Jawatan Ahli Parlimen beserta timbalan menteri disandang Razali bagaikan tidak dipeduli dan tidak dihargai langsung oleh Umno bahagian itu apabila beliau tidak juga dipilih menganggotai G7 (perwakilan bahagian) dan tidak juga dilantik sebagai AJK Bahagian.

Cerita layanan buruk Umno bahagian terhadap Razali meninggalkan kesan negatif terhadap BN, khususnya calonnya yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu. Sana-sini orang sudah bercakap bahawa Umno tidak mengenang jasa Razali.

Di atas hasrat meneutralkan keadaan itu dan memperbetulkan kesilapannya, BN dipercayai tergesa-gesa mengumumkan hasrat mengabadikan nama Razali pada dua institusi tadi. Nampak sangat ia tidak ikhlas, bukan?_

Tiada ulasan: