Isnin, 30 Jun 2008

BN akan terus berusaha hancurkan Pakatan Rakyat - Dr Mariah
Basiron Abdul Wahab


TEMERLOH (Hrkh) - Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud berkata, pelbagai usaha sedang dibuat Barisan Nasional (BN) untuk menghancurkan Kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri.

Katanya, antara usaha itu termasuklah mereka cerita-cerita karut kononnya wujud rundingan sulit di antara PAS dengan Umno dan kononnya tokoh tertentu didalama PAS terlibat.

Juga dikatakan kononnya ada pemimpin PAS telah bertemu pemimpin Umno di luar negara dan sebagainya.

Apa yang mereka buat itu, adalah usaha untuk menimbulkan kekecohan di dalam Pakatan Rakyat serta menimbulkan kemarahan ahli PAS terhadap pemimpin tertentu.

Dr Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja Selangor menegaskan, cerita-cerita berkenaan ditulis dan disebarkan melalui akhbar dan internet. Beliau yakin ia pasti dilakukan oleh unit gerak saraf lawan.

Beliau menegaskan cerita yang tersebar itu adalah fitnah kerana tidak wujud sebarang rundingan di antara pemimpin PAS dan Umno sebagaimana didakwa.

Bagaimanapun katanya, hubungan biasa seperti bertegur sapa, minum semeja sememangnya ada dan ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara dasar seperti keluar Pakatan Rakyat umpamanya perlu mengikut prosedur tertentu dan ia perlu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebagai kuasa penentu.

"Saya meihat dan membaca pelbagai tulisan di internet dan sesetengahnya saya yakin ia bukan ditulis oleh ahli PAS, tetapi ditulis oleh pihak lawan dengan matlamat untuk menghancurkan PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut Dr Mariah, PAS tidak pernah menjual prinsipnya dalam hubungannya dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, PAS juga bebas bersuara untuk mempertahankan prinsip perjuanganya sebagaimana dilihat dalam isu Konsert dangdut yang tidak dipersetujui apabila Dewan Pemuda PAS menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengkaji semula konsert tersebut yang dijadualkan akan diadakan sebelum perlawanan bola sepak Selangor melawan Singapura. - mns_

Ahad, 29 Jun 2008

Pembantu dakwa diliwat, Anwar sifatkan konspirasi politik


KUALA LUMPUR: Petang semalam polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengadu diliwat oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lelaki terbabit memfailkan laporan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Balai Polis Jalan Travers di sini pada pukul 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner II Ku Chin Wah ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa polis ada menerima laporan berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana laporan itu masih dalam siasatan.

Anwar dipecat daripada jawatan Kabinet dan Umno pada September 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dakwaan rasuah dan beliau menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan kesalahan.

Beliau dibebaskan dari penjara pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan menolak pensabitan tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Sabtu Osman malam tadi mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat satu laporan kes liwat membabitkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang pekerjanya.

Beliau berkata mangsa membuat laporan di balai polis Travers, Bangsar kirakira pukul 5.45 petang.

Katanya mangsa mendakwa diliwat pada dua hari lepas (26 Jun) di sebuah kediaman di Bukit Damansara, di sini.

Mangsa yang berusia 23 tahun, dikatakan telah beberapa tahun bekerja dengan penasihat PKR itu.

Sementara itu, kenyataan media yang dihantar Biro Penerangan PKR menyebut bahawa polis menahan seorang pembantu khas Anwar petang semalam dan memaksanya supaya membuat pengakuan diliwat.

Kenyataan tiga perenggan itu juga menjelaskan bahawa kepimpinan parti sedang berbincang langkah seterusnya dan kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Anwar berkata laporan polis yang dibuat terhadapnya adalah satu rekaan semata-mata.

Dalam satu kenyatannya awal pagi ini, Anwar percaya ia adalah ulangan apa yang berlaku padanya pada tahun 1998 di mana dakwaan yang sama telah dilemparkan terhadapnya secara paksaan.

"Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan," kata Anwar.

Menurutnya laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang saya sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang saya perolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkan beliau pada tahun 1998-1999.

"Serangan jahat ini tidak akan menghalang saya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam."

"Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya," kata Anwar.

Anwar turut menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah telunjuk serta arahan pemerintah.

Sebagai susulan kepada pilihanraya umum 8 Mac lalu, Anwar menegaskan bahawa rakyat mesti meningkatkan kekuatan dan kesungguhan ke arah mencapai kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat.

Sabtu, 28 Jun 2008

Bekas pegawai Menteri Besar nafi tuduhan Ezam
Sinar Harian


SHAH ALAM - "Ezam berbohong. Tiada sebarang kutipan wang disalurkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sempena Sambutan 100 Hari Pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di Selangor seperti yang didedahkannya," kata bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Shari kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti yang menunjukkan tiada wang yang masuk ke dalam akaun PKR yang disumbangkan oleh syarikat swasta di negeri itu seperti yang didakwa bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor sebelum ini.

"Setelah diadakan musyawarah dalam Mesyuarat PKR Selangor semalam (kelmarin) semua bukti telah saya kemukakan bagi membuktikan semua dakwaan yang dibuat oleh Ezam itu adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi semalam.

Namun begitu katanya, beliau tidak berhajat mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Ezam walaupun pembohongan itu telah menjejaskan kredibilitinya kerana beliau percaya kebenaran pasti terserlah suatu hari nanti.

"Biar Allah yang menentukan. Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini juga jelas bertentangan kerana beliau tidak pernah merujuk kepada saya mengenai akaun tersebut. Saya tidak pernah diberi peluang untuk menjelaskannya," katanya.

Beliau yang bertindak sebagai urusetia penganjur Sambutan 100 Hari Pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini menjelaskan, sambutan berkenaan dibuat adalah atas kapasiti parti politik dan bukannya anjuran kerajaan negeri.

Namun memandangkan pada ketika itu parti tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk menganjurkan sambutan berkenaan, katanya, pihaknya menghantar surat kepada semua syarikat swasta awal Mei lalu bagi mengutip sumbangan bagi merealisasikan sambutan berkenaan.

"Bagaimanapun kita hanya menggunakan kepala surat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan bukannya kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor seperti yang didakwa oleh Ezam.

"Bukan itu sahaja kaedah digunakan untuk mengutip sumbangan, kita turut mencari penaja kepada buku cenderamata dengan niat untuk menjayakan sambutan berkenaan yang kurang diberi perhatian pada awalnya," katanya.

Namun katanya, tiada satu pun syarikat swasta yang memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini dan menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Menjelaskan mengenai penggunaan akaun PKR untuk tujuan penyaluran wang derma itu, Yahya menjelaskan ia adalah satu-satunya akaun yang sah untuk dimasukkan wang derma berkenaan.

"Pada masa itu kita belum mempunyai akaun Pakatan Rakyat (PR), jadi hanya akaun PKR yang paling sesuai, bagaimanapun tiada sebarang jumlah derma yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

"Saya merasakan isu ini telah berjaya diselesaikan secara dalaman dengan baik kerana tiada sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan yang dilakukan," katanya lagi.

Jumaat, 27 Jun 2008

Bukti wang S'gor masuk akaun PKR
Fathi Aris Omar & Muda Mohd Noor


Bekas pegawai kanan menteri besar Selangor didakwa menunjukkan resit dan akaun penerimaan wang derma, sepatutnya untuk kerajaan negeri, yang dimasukkan ke akaun PKR sehingga mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

"Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata beberapa pemimpin parti yang turut hadir kepada Malaysiakini.

Wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri."

Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampas Selangor daripada BN.

Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Menurut menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Abdul Khalid, yang juga ketua perhubungan PKR negeri, turut hadir bersama Yahya, yang telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan negeri Isnin lalu.

Dalam mesyuarat semalam, Anwar meminta semua pihak akur pada keputusan menteri besar menggantung tugas Yahya selama dua bulan mulai Isnin.

Beliau juga dikatakan menegur Yahya yang membangkitkan masalah dalaman kerajaan dan isu parti kepada pihak media – bagaimanapun tidak jelas isu sebenarnya yang dibangkitkan.

Ketua umum PKR juga dikatakan meminta semua pemimpin parti agar tidak mengetengahkan masalah yang membabitkan parti kepada pihak media.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya mesyuarat malam tadi berjalan dengan baik dan dalam suasana ceria," kata sumber-sumber itu.

Menurut mereka lagi, Yahya telah memohon maaf kepada semua yang hadir berhubung tindakannya mendedahkan isu-isu itu kepada media.

Anwar juga dikatakan meminta menteri besar menggantikan pegawai-pegawai tinggi era pentadbiran BN yang masih mengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Sumber-sumber itu berkata, penggantian itu tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelak rasa kurang senang rakyat Selangor.

Mesyuarat selama dua jam itu bermula selepas jam 9 malam di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Turut hadir di mesyuarat itu, wakil-wakil rakyat PKR negeri, ketua-ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dari negeri itu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun PKR.

Akhbar-akhbar hari ini melaporkan Abdul Khalid berkata penggantungan Yahya akibat isu kutipan wang sempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor.

Khamis, 26 Jun 2008

Anwar Usah Layan Yahya Shaari
(Global Media Channel)

KEJADIAN Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shaari disiasat oleh BPR kerana dikatakan telah menyalahgunakan kuasa meluluskan tander punggut sampah dalam Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) bakal menimbulkan masalah kepada PKR Selangor jika ianya tidak diselesai dengan baik.

Semalam pegawai berjanggut renggah ( jarang) itu telah pun melepaskan jawatan sebagai Pegawai Khas selepas beliau menerima surat penggantungan jawatan itu. Beliau nampaknya tidak puas hati dengan tindakan penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu.

Tindakan beliau melepas jawatan itu betul, kerana mesej pengganggung itu sendiri ialah untuk memberi isyarat agar beliau melepas jawatan dengan baik apabila beliau disiasat oleh BPR. Dan nampaknya beliau peka dengan isyarat berkenaan.

Namun perkembangan selepas itu nampaknya kurang sihat dan tidak mencerminkan tindakan mereka yang pernah menimba pengalaman dari gerakan Islam.

Ahli PKR harus memahami sebaik-baiknya mengenai isu ini. Ada dua isu yang timbul dalam hal ini. Penggantungan alias pemecatan pegawai berkenaan dan siasatan oleh BPR.
Apa yang kena faham kenapa pegawai itu digantung ialah kerana beliau disiasat oleh BPR. Siasatan belum selesai lagi walaupun MB pada suatu masa cuba membela dan melindungi aib pegawai itu dengan mengatakan siasatan sudah selesai dan tidak ada kes.

Teryata siasatan belum selesai lagi dan masih berjalan. Kalau sudah selesai dan pegawai itu tidak bersalah kenapa beliau digantung?

Maka wajar kalau pegawai itu digantung untuk membolehkan siasatan berjalan dengan lancar. Selain itu untuk menjaga integriti Kerajaan Pakatan Rakyat. Tidak sesuai sangat kalau orang yang disyaki rasuah berada di dalam pejabat sebuah kerajaan bersih dan telus seperti pejabat MB Selangor itu. Keadaan itu samalah pencuri yang berada di bawah ketiak alim ulama.

Pegawai berkenaan hendaklah insaf dan peka dengan keadaan. Salahnya di sini dari beliau juga kerana menulis surat sokongan sedangkan ia tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Kalau tidak banyak dan sampai boleh dihukum lima hingga 10 tahun penjara namun beliau telah menyalahgunakan kedudukannya. Apakah beliau tidak membaca piagam perkhidmatan dan juga bidang tugasnya sebelum duduk di kerusi jawatan itu?

Pegawai berkenaan nampaknya mengamok, membuat protes dan cuba mengheretkan masalah peribadinya jauh ke dalam parti. Beliau tidak perlu membuat kenyataan dan protes demikian. Beliau hanya ahli dan berkedudukan sebagai Setiausaha Perhubungan PKR Selangor, di mana statusnya dari segi keahliannya sama saja. Sama-sama membayar yuran yang nilainya sama.

Beliau tidak boleh merasakan hebat, penting dan seolah kalau bukan kerana beliau PKR Selangor tidak akan menang. Kalau itulah perasaan yang menekan dirinya, itu silap.
PKR dalam keadaan sekarang akan kuat dan terus mendapat sokongan rakyat. Rakyat tidak menyokong mana-mana individu tetapi apa yang disokong aspirasi dan cita-cita PKR bersama Pakatan Rakyat.

Sesiapa yang memperjuangkan dirinya, beliau akan tewas dan kalah. Tidak ada siapa akan mempedulikan kita. Jadi cadangan hendak jumpa Anwar dan membawa protes batinnya itu tidak betul. Apakah lagi kalau Anwar tidak melayannnya beliau bercadang pula untuk meninggalkan PKR seperti Ezam Mohd Noor, makin tidak betul. Lihat apa sudah jadi pad Ezam penghormatan umum kepadanya sudah hilang. Seribu kali dia memburukkan Anwar dunia tidak akan mempercayainya kecuali dunia Umno.

Dan Anwar Ibrahim juga tidak payah layan ahli-ahli yang lebih memikirkan soal diri sendiri daripada agenda perjuangan untuk rakyat. Kalau beliau turut melayani tuntutan-tuntutan peribadi, ia tidak akan habis kerana semua manusia akan berbuat demikian.

Cuma perlu diingatkan kepada Anwar kalau hendak layan dan dodoi kerana PKR kini sudah memiliki sedikit kuasa dodoilah mereka yang ikhlas dan bersusah payah semasa berdemon mempertahan dan memperjuangkan agendanya dulu.

Jalan baik bagi pegawai berkenaan ialah bersikap tawaqus dan insafkan diri. Serahkan diri kepada Allah dan sekiranya siasatan BPR mendapat beliau tidak bersalah nah... muncullah semula sebagai pemimpin hebat yang bersih, tahu menghormati orang dan jangan bercakap berdolak dalih. Kalau kita benar kenapa kita harus menjadi penakut dan bukankah kita berjuang kerana Allah dan bukan kerana lain dari itu? Cuba hayati makna dalam doa iftitah.
Pemuda PAS kecewa wang derma masuk 'poket' PKR
Oleh Utusan


Shah Alam : Dewan Pemuda Pas Selangor kecewa dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri ini yang memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk program itu ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketuanya, Sallehen Mukhyi khuatir perkara seperti itu mungkin boleh berlaku lagi pada masa akan datang melibatkan nilai wang yang lebih besar.

Justeru, beliau mendesak pucuk pimpinan negeri yang diterajui PKR, Pas dan DAP menubuhkan Majlis Perundingan Pakatan Rakyat bagi memastikan kesilapan yang diakui sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak berulang lagi.

“Saya fikir benda-benda macam ini berlaku disebabkan tidak ada satu pakatan atau jawatankuasa di peringkat parti, yang ada cuma perbincangan peringkat kerajaan negeri.

“Disebabkan itulah berlaku kebocoran seperti ini tanpa pengetahuan. Selagi tidak ada jawatankuasa peringkat parti, selagi itu tindakan yang membelakangkan semangat pakatan pembangkang akan berlaku, masing-masing ambil tindakan sendiri.

“Kebocoran ini bukan hanya akan menguntungkan pihak lain termasuk Barisan Nasional (BN) yang akan mencari isu untuk didedahkan, tetapi bakal mengundang persoalan di kalangan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang mengakui wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor dimasukkan ke akaun PKR dan bukan kepada kerajaan negeri seperti sepatutnya.

Perbuatan itu dipercayai menimbulkan rasa kurang senang pengerusi penganjur sambutan itu, Datuk Dr. Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.

Perkara itu terbongkar selepas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor mendedahkan wang sumbangan tersebut dimasukkan ke dalam akaun PKR sedangkan surat yang dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk memohon sumbangan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor.

Sambutan 100 hari kerajaan campuran pembangkang mentadbir Selangor diadakan di Stadium Shah Alam di sini Jumaat lalu yang dihadiri para pemimpin kanan ketiga-tiga parti.

Sementara itu, Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta polis menyiasat Abdul Khalid di bawah kes pecah amanah jenayah (CBT).

“Siasatan itu perlu dilakukan kerana tindakan Abdul Khalid itu tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan berkenaan merupakan acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang memberikan peruntukan penganjuran sebanyak RM200,000.

“Tindakan mengutip sumbangan untuk akaun PKR seolah-olah menunjukkan parti itu cuba mengambil kesempatan daripada sambutan tersebut bagi mendapatkan sumber kewangan,” katanya.

Isnin, 23 Jun 2008

Pegawai Khalid digantung 2 bulan
Jimadie Shah Othman


Pegawai kanan menteri besar Selangor, yang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya, digantung tugasnya selama dua bulan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pegawai tugas-tugas khas itu telah dimaklumkan tentang penggantungan mulai semalam melalui mesej SMS "agar beliau tidak terkejut".

Pada 10 Jun lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan berkenaan selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

Pada 5 Jun, sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR dilaporkan telah membuat aduan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan Abdul Khalid.

Di sidang medianya hari ini, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

"Boleh jadi dengan perkara itu ada andaian konflik kepentingan atau sokongan tidak wajar," katanya lagi, sambil menambah beliau merujuk perkara itu dengan seorang pegawai BPR.

Beliau berkata surat penggantungan kerja itu bagi membolehkan siasatan ke atas fail-fail berkenaan.

Setiausaha politiknya Nik Nazmi Nik Ahmad diarahkan bertemu empat ahli PKR yang membuat kenyataan berkenaan pegawai kanan itu.

Dihubungi hari ini, pegawai tugas-tugas khas menteri besar itu Yahya Shahri , mengesahkan penggantungannya.

Beliau dijadual mengadakan sidang media 4 petang ini di lobi bangunan Parlimen.

Jika didapati perkara itu sangat serius, tambah Khalid, kerajaan negeri akan mengemukakan kes itu kepada Jawatakuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) untuk siasatan lanjut.

Ahad, 22 Jun 2008

Wawancara khas 100 hari pentadbiran baru Selangor

Pentadbiran Adil, Telus, Berkebajikan Ikrar MB Selangor

YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim, dengan rasminya menjawat Dato’ Menteri Besar Selangor sejurus menerima watikah pelantikan daripada DYMM Sultan Selangor pada 13 Mac 2008. Sempena sambutan genap 100 hari menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada 20 Jun 2008, YAB Tan Sri Abdul Khalid, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran dunia korporat, ketika ditemui Dr. Sulaiman Masri, merungkaikan beberapa isu yang menjadi perhatian kalangan rakyat terhadap pelan tindakan pentabiran beliau seterusnya di negeri Selangor.

1. Visi Baharu dalam Urus Tadbir Kerajaan Negeri Selangor

Visi asal negeri Selangor, berbunyi, “Selangor negeri idaman, maju dan sejahtera.”

Misi asal berbunyi, ”menguruskan kesinambungan kejayaan negeri maju melalui perkhidmatan yang mesra, mudah, cepat dan tangkas selaras dengan tuntutan pelanggan.”

Dengan menggunakan visi dan misi yang sedia ada, kerajaan Pakatan Rakyat berusaha lebih menerjah ke akar ubi, iaitu berusaha memanfaatkan rakyat seluruhnya. Maka,dalam hal ini, visi baharu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, berbunyi; “memimpin” dan “merakyatkan ekonomi”.

Istilah “memimpin” di sini bermaksud, barisan kepemimpinan Pakatan Rakyat di Selangor memang terus menerajui pentadbiran negeri ini dalam semua aspek pentadbiran, baik di peringkat kampung, mukim, dan daerah, mahupun di peringkat pusat pentadbiran kerajaan negeri yang terletak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam.

Bagi kami, setelah rakyat memilih kami, rakyat mempunyai hak terhadap sumber pendapatan negeri. Ini merupakan asas konseptual, yang berbeza daripada pegangan Barisan Nasional. Bagi BN, setelah memenangi pilihan raya, maka kerajaan pun menguasai negeri atau negara.

Nah, anda lihat perbezaan antara Pakatan Rakyat daripada BN! Kerajaan Pusat (BN) yang menguasai kerajaan negeri dan rakyat! Sedangkan konsep Pakatan Rakyat, rakyat kini ada kuasa terhadap kerajaan negeri.

Contoh, kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi melantik wakil-wakil rakyat atau ahli-ahli yang berhormatnya dalam kerajaan berkuasa tempatan (PBT) sebagaimana kerajaan negeri yang lepas. Hal ini dilakukan bagi mengelak berlakunya perbuatan penyalahgunaan kuasa atau campur tangan dalam keputusan yang bersifat kepentingan diri dan kroni.

Istilah “merakyatkan ekonomi” pula bermaksud kerajaan Pakatan Rakyat berusaha meneroka dan memajukan sumber ekonomi di bumi Selangor, yang kemudian membahagi keuntungan kepada rakyat, agar dalam hal ekonomi ini, rakyat dapat sama-sama merasa hasilnya.

Misalnya, dalam pembangunan yang melibatkan tanah rakyat. Penjawat awam atau pemimpin politik hanya bertindak selaku pengurus, manakala rakyat selaku tauke atau pemilik.
Tauke inilah yang menentukan hasil pembangunan bakal diterima sewajarnya
Pemimpin politik dan penjawat awam tidak berhak dengan sewenang-wenangnya memperoleh ‘bahagian’ keuntungan secara tidak sah. Ini ‘budaya’ yang berlaku selama ini. Malah rakyat terpaksa membayar cukai pintu tahunan sekiranya tanah mereka dibangunkan bagi projek perumahan.

2. Penerapan Gaya Pengurusan Korporat

Sebenarnya, di Selangor sudah ada sejumlah agensi kerajaan yang bertaraf syarikat atau perbadanan. Antaranya, Permodalan Selangor, Pelancongan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, dan Syarikat Air Selangor (Syabas).

Pengurusan korporat memang agak berbeza daripada pengurusan agensi awam. Antara aspek pembeza, syarikat mengutamakan keuntungan. Dalam hal ini, penerapan gaya pengurusan yang sedia ada diteruskan, tetapi saya merangsang agar syarikat-syarikat milik kerajaan negeri memberi penekanan yang lebih pada kejujuran, ketelusan dan mengutamakan tanggungjawab sosial.

3. Pendekatan ‘Kebertanggungjawapan’ dan ‘Ketelusan’

Dasar kebertanggungjawapan dan ketelusan dalam kepemimpinan Pakatan Rakyat diterap menerusi beberapa cara. Antaranya, ahli-ahli yang berhormat dalam PKR, DAP, PAS tidak dibenarkan menjadi ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mereka dilarang terlibat dalam aktiviti yang disyaki mengutamakan diri, kawan atau saudara mara. Malahan semua projek mesti diperoleh secara tender terbuka, menerusi temu duga, dan berdasarkan kelayakan. Malahan, ahli-ahli yang berhormat Pakatan Rakyat dipantau agar tidak menerima komisen daripada mana-mana projek yang dikendalikan syarikat atau individu terpilih.

Semua kakitangan awam dan syarikat milik kerajaan negeri, tidak kira pangkat, mesti melaksanakan tugas dengan jujur, cekap dan mesra pelanggan atau rakyat. Saya nampak Piagam Pejabat Menteri Besar yang lepas sesuai dipatuhi oleh semua kakitangan negeri Selangor.

Lantaran itu, saya mahu semua pihak menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab, telus, jujur dan mesra.

Misalnya, borang permohonan, surat sokongan, aduan atau baucer pembayaran yang diterima atau untuk pelanggan, mesti segera dilayan dan dijawab menurut tempoh yang ditetapkan dalam Piagam tersebut.

4. Usaha Berjimat Cermat dalam Perbelanjaan Kerajaan Negeri

Usaha berjimat cermat dilakukan dalam banyak cara. Misalnya, saya awal-awal lagi, tidak minta agar ruang pejabat saya (Pejabat Menteri Besar) diubah suai, tidak mengganti perabot lama, dan tidak menukar alatan pejabat.

Malah saya terus mengambil bekerja majoriti petugas MB sebelum saya, walaupun ada desakan agar saya bekerja dengan kakitangan baharu.

Saya juga menggunakan kereta peribadi untuk urusan rasmi. Dan yang paling penting, saya, atau sanak saudara saya tidak menginap di Kediaman Rasmi Menteri Besar.
Kediaman tersebut hanya digunakan bagi tempat menyuarat atau pertemuan lain.

Entahlah…Ada orang memberitahu saya, yang sanak saudara MB sebelum saya, juga menginap di Kediaman Rasmi…

5. Pemberian “Hadiah” dan “Hukuman” kepada Kakitangan

Ya, mungkin saya dan barisan pentadbiran dalam Kerajaan Negeri sedia memberi “hadiah” kepada mereka yang berprestasi cemerlang. Saya yakin, kakitangan kerajaan negeri, kakitangan syarikat milik kerajaan negeri, termasuk petugas parti PKR, khususnya, bersedia melaksanakan tugas masing-masing dengan tekun, jujur, amanah dan ikhlas, serta berjiwa “sedia berkhidmat kepada pelanggan/rakyat.”

Tentang “hukuman” kepada mereka yang kurang berprestasi, saya suka memberi nasihat dan motivasi terlebih dahulu, agar mereka yang berkenaan berasa dibantu dalam usaha memperlihatkan prestasi yang memuaskan.

6. Sistem Kawalan Penyalahgunaan Kuasa dan Rasuah

Saya menyeru agar semua YB Pakatan Rakyat, termasuk kalangan pemimpin komponen Pakatan Rakyat di peringkat Bahagian dan Cawangan menunjukkan sikap dan perbuatan yang adil dan jujur. Mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan sedia membenci perbuatan rasuah, termasuk tidak mengayakan diri dan keluarga, atau rakan-rakan.

Inilah, antara kawalan dalam sistem pentadbiran kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Justeru itu, sistem pengawalan daripada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan negeri berjaya diwujudkan hanya jika semua pihak jujur dan ikhlas.

Dalam hal ini, perbuatan salah guna kuasa atau rasuah biasanya melibatkan mereka yang berkuasa dalam parti yang memerintah kerajaan negeri dengan mereka yang bertugas dalam pejabat kerajaan, pejabat syarikat milik negeri atau swasta.

Jika berlaku tolong menolong antara dua pihak ini, yang melibatkan pemberian wang, atau pemberian upah dalam bentuk lain, maka dalam konteks ini penyalahgunaan kuasa dan rasuah sudah berlaku.

Dalam siatuasi, apabila YB meminta komisen daripada orang yang ditolongnya, ini contoh rasuah. Atau YB dengan sewenang-wenang membatalkan perjanjian dengan seseorang yang tidak bersedia memberinya ‘habuan’, ini contoh penyalahgunaan kuasa.

Perbuatan terkutuk seumpama juga boleh berlaku jika ada unsur ‘potong ‘queue’” atau potong giliran dalam apa-apa urusan dengan pelanggan atau rakyat. Misalnya, orang yang datang kemudian tetapi dia kawan kita, maka dia dilayan dahulu. Sebaliknya, orang atau pelanggan yang sudah sekian lama menunggu, tetapi bukan kawan atau kenalan kita, maka dia dilayan kemudian.

Sehubungan ini, saya dan barisan eksko Pakatan Rakyat sedia berbincang bagi menggubal peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua pihak – anggota parti atau kakitangan kerajaan negeri – tidak sewenang-wenang menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah.

7. Cara Membasmi Budaya Salah Guna Kuasa dan Rasuah dalam PKR?

Persoalan ini mungkin mengesahkan yang budaya salah guna kuasa dan rasuah ‘mungkin wujud’ dalam Pakatan Rakyat, khususnya PKR.

Perlu dijelaskan, saya dan pemimpin PKR terutamanya, memang berusaha ‘menghapuskan’ budaya negatif ini, katakanlah dalam tempoh satu tahun?

Di peringkat awal ini, memang saya dapati, ada ahli atau pemimpin termasuk penyokong PKR yang datang bertemu saya atau eksko tetapi pulang dengan ‘tangan kosong’. Kami tidak menjanjikan apa-apa pemberian.

Pentadbiran Pakatan Rakyat, khususnya PKR, tidak lagi mengamalkan budaya memberi komisen atau peluang mendapat projek kepada ahli atau kroni.

Saya sendiri mmenyarankan agar setiap ahli dan penyokong PKR mesti bekerja secara ikhlas untuk parti tanpa mengharapkan upah, ganjaran atau komisen. Saya mahu budaya negatif sebagaimana amalan dalam parti di luar PKR itu, dihapuskan, dalam tempoh kurang setahun.

Memang, dahulu amalan memberi upah dan habuan diteruskan. Dalam apa-apa perlakuan di peringkat parti, PBT atau urusan dengan agensi dan jabatan kerajaan, selalunya ada sahaja ‘envelop’ yang beredar. Di dalam envelop itu tentulah wang ratusan atau ribuan ringgit!

Contohnya, amalan lepas, jika MB menandatangi surat-surat penting, maka pihak yang menghantar fail dan mengambilnya biasanya mengenakan caj tertentu, misalnya RM1000 kepada pihak yang mahu surat atau dokumennya diuruskan segera.

Habuan tersebut dibahagi-bahagilah antara pihak parti, pihak perantara, dan pihak lain yang mengenali ‘orang dalam’.

Cara lain, saya memastikan kalangan petugas di Pejabat Menteri Besar atau di pejabat-pejabat Eksko, tidak sewenang-wenang melakukan aktiviti yang ‘menjanjikan upah atau ganjaran’.

Oleh sebab itu, saya dan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, berusaha mengingat diri agar tidak terdorong melakukan hubungan atau urusan yang mengharapkan ‘ada upah’ atau komisen.

Membelanjai tetamu atau kawan makan dan minum di kantin atau warong, yang demikian perkara biasa. Bagi saya ini bukan perbuatan rasuah. ST

Khamis, 19 Jun 2008

Roslan Aziz mohon maaf
Jimadie Shah Othman


Komposer terkenal Roslan Aziz memohon maaf kepada ahli PAS kerana kenyataannya yang dianggap menghina parti itu berhubung tindakan Dewan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu, sempena 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu.

"Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu," kata Roslan dalam blognya Roslan Aziz Production (http://roslanaziz.blogspot.com) semalam.

Kelmarin, Roslan menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Pemuda PAS Selangor untuk mengadakan perhimpunan untuk membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.

Dalam permohonan maafnya itu, Roslan mengaku tidak berfikir panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebaliknya menggunakan emosi dan "perasaan kecewa yang telah lama terpendam".

"Sebagai seorang Islam dan bapa kepada anak-anak, saya tidak sepatutnya menjawab begitu yang menyebabkan ada pihak yang berasa terhina," kata beliau yang juga bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak sama sekali berniat untuk menghina atau menimbulkan permusuhan.

Tidak niat menghina

"Saya tidak sama sekali berniat untuk menghina, jauh sekali untuk bermusuh sesama saudara (seagama)," katanya.

Permohonan maaf itu dipercayai dibuat berikutan banyak kritikan dibuat terhadap kenyataannya dalam blog-blog dan forum maya di internet.

Konsert itu, yang dilapor diadakan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, akan diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri itu.

Menurut Harakahdaily.net, ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mokhyi, yang menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Nik Nazmi semalam, berharap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "bertindak segera agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi (dalam Pakatan Rakyat) khususnya PAS."

"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella. Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," katanya seperti dilaporkan.

Selain mendakwa konsert anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd itu sebagai "pembaziran dan gaya hidup mewah", Sallehen berkata ia "mengundang imej tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari" menguasai Selangor.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor telah menyatakan persetujuan baginda untuk bertemu Dewan Pemuda PAS negeri itu bagi membincangkan bantahan dewan tersebut.

Pertemuan itu, menurut Khalid, akan diadakan sebelum akhir bulan ini.


KENYATAAN MOHON MAAF :


Assalamualaikum...

Terlebih dahulu inzinkan saya meminta maaf atas kertelanjuran kata2 saya didalam malaysia kini tempoh hari.

Saya mengaku tidak berfikir panjang sebelum menjawab soalan2 saudara Jimadie tetapi sebaliknya menggunakan emosi dan frustration saya yang lama terpendam.Sebagai seorang Islam dan bapa kepada anak2 saya..saya tidak sepatutnya menjawab begitu yang menyebabkan ada pihak yang berasa terhina.Saya TIDAK sama sekali berniat untuk menghina jauh sekali untuk bermusuh sesama saudara.

Walaubagaimanapun ia tidak sepatutnya berlaku dan sebagai seorang manusia yang beragama ISLAM.. bapa.. suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan KeredhaanNYA...saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khusus nya ahli2 PAS atas perlakuan saya itu. Saya berharap dan berdoa agar saya dimaafkan...

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Saya berdoa agar kita semua sentiasa dilindungi oleh ALLAH S.W.T. dan dipelihara olehNYA.

Selawat kepada nabi kesayangan kita Rasul ALLAH Nabi Muhammad S.A.W. dan Keluarga baginda A.S.


IKHLAS
Roslan Aziz
@ Kampong Datok Keramat
Wednesday, June 18, 2008

Rabu, 18 Jun 2008

Parlimen akan gempar dengan usul tidak percaya terhadap PM
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Pengumuman yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab hari ini apabila ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) didakwa akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Badawi dalam sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Tindakan ini adalah sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia bahawa usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.
"Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.

Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya,ujar satu kenyataan yang tersiar dalam satu laporan hari ini.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen, iaitu Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Dato' Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) selain empat ahli dewan undangan negeri.

Majimbun yang kini berada di luar negeri, telah menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti itu dengan menandatangan kenyataan tersebut.

Chua turut hadir dalam sidang akhbar yang diadakan khas di Kota Kinabalu memberi empat sebab mengapa beliau menyokong usul tidak percaya terhadap PM itu.

Walaupun seruan demi seruan dibuat oleh SAPP kepada Abdullah berkaitan dengan isu pendatang tanpa izin, tetapi tindakan tidak dilakukan.

Selain itu beliau menyatakan tindakan menaikan harga bahan api yang dibuat tanpa perancangan, telah menyebabkan rakyat miskin di Sabah khasnya menjadi miskin tegar.

Selain itu, beliau berkata selaku pemimpin yang dipilih oleh rakyat sekiranya ketidakpuasan hati rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian yang tidak cekap, rasuah, pembaziran, tiada ketelusan dan akauntabiliti diketepikan.

"Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan di bawah Abdullah Ahmad Badawi.

"SAPP juga berpendapat bahawa sekiranya pemimpin atasan tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, ia seharusnya berundur dan memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih," katanya. _

Isnin, 16 Jun 2008

MB: Islam hadhari 'buang masa'
Jimadie Shah Othman


Selangor tetap dengan keputusannya tidak membenarkan program mempromosikan Islam hadhari di negeri itu kerana ia "mengelirukan" dan programnya "membuang masa", kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau menambah, Islam hadhari hanyalah "persoalan nama" dan tidak harus menjadi isu.

"Sebenarnya memang tidak ada isu. Isunya, kita tidak mahu menggunakan nama hadhari. Itu saja. Hadhari itu mengelirukan masyarakat. Kalau Islam, Islamlah, buat apa hadhari lagi," katanya, sewaktu diminya mengulas kenyataan exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali bulan lalu.

Khalid turut menyifatkan program itu sebagai "membuang masa".

"Tetapi kalau aktiviti menerangkan apa itu Islam Hadhari, buang masa sajalah. Itu kita tidak bagi. Buat apa, buang masa.

"Kita bagi kalau nak menerangkan macam mana tauhid, tajwid, bersatu, itu okey. Ini asyik nyanyi lagu Islam hadhari buat apa. Majulah lebih sikit," tambahnya, di kediaman rasminya Sabtu lepas.

Dalam wawancara bersama beberapa media berbahasa Melayu bersempena sambutan ‘100 hari kerajaan baru Selangor’, Khalid bagaimanapun tidak menafikan masih terdapat usaha mempromosikan versi Islam ini oleh kerajaan persekutuan di negeri itu.

"Ada, saya dengar. Ada budak-budak sekolah, budak universiti kena tahu apa itu Islam hadhari. Itu darjah tiga, darjah empat saja.

"Pada saya, (di) peringkat universiti, (perlu dibincangkan soal) mengapa perbezaan Islam zaman Saidina Umar dengan zaman Ottoman (Turki). Dan bagaimana cara ia dibangunkan.

"Macam saya mengkaji macam mana Umar Abdul Aziz dapat memerintah di zaman Baghdad, (ia) berbeza dengan pemerintahan Ottoman di beberapa tempat (seperti) di Granada, Sepanyol, di Sarajevo. Saya nak buat sesuatu lebih tinggilah. Maknanya orang Malaysia boleh berbincang dengan luas Islam yang kita hendak perkembangkan," katanya, mengulas program-program Islam hadhari yang dijalankan jabatan persekutuan di negeri itu.
Anwar sedia tahu nama komponen BN bakal keluar?


IPOH: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak jika petisyen pilihan raya umum tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya mengenai kemungkinan bertanding pada pilihan raya kecil waktu terdekat ini, Anwar yang telah diberikan 'lampu hijau' oleh Pendaftar Pertubuhan untuk bertanding dan memegang jawatan politik secara aktif baru-baru ini, berkata:

"Saya berpendapat (bertanding) di Perak juga idea yang baik. Kami sedang menunggu keputusan (petisyen pilihan raya) berhubung kerusi Kuala Kangsar."

Anwar menyatakan demikian ketika ditemui wartawan selepas beliau menghadiri persidangan tertutup Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Anwar yang juga Penasihat PKR menambah, sebuah jawatankuasa telah pun dibentuk untuk meneliti persediaan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Jelas beliau, ia akan dilakukan menerusi Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, kerusi Kuala Kangsar dimenangi oleh Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Rafidah menewaskan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr. Khairuddin Abd Malik.

Mengenai desas-desus sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan keluar dalam waktu terdekat, Anwar berkata:

"Kami akan memantau (perkembangan ini) dengan rapat. Saya pasti anda akan mengetahuinya tidak lama lagi."

Ketika ditanya sama Pakatan Rakyat akan mempertimbangkan kemasukan komponen BN ke dalam pakatan pembangkang itu, Anwar memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan yang sesuai tidak lama lagi.

Sama ada beliau sedia mengetahui nama parti komponen berkenaan, Anwar berkata: "Saya ada beberapa maklumat."

Bagaimanapun beliau enggan menjawab apabila ditanya sama ada parti itu datang dari Sabah.

Sebaliknya, Anwar juga secara berseloroh memberitahu: "Saya ingat ia sama ada MCA atau MIC kerana ini masa bagi mereka untuk keluar."