Isnin, 1 Disember 2008

Zaid wajar dihukum -UMNO tidak rugi apa-apa

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Kerajaan dan UMNO tidak akan rugi jika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ingin menyertai parti pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan penting hingga boleh menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai pihak pembangkang.

‘‘Sebenarnya, kita tidak rugi apa- apa pun kalau benar beliau (Zaid) akan menyertai pembangkang.

‘‘Bagi saya, ini perkara biasa kepada Zaid apabila tidak ada dalam kerajaan, mana lagi beliau hendak pergi melainkan ke pembangkang,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perumahan Duta Suria di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas mengenai hasrat Zaid yang tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti pembangkang sewaktu menghadiri perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-5 di Stadium Melawati, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, sewaktu Zaid dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri, kebanyakan rakyat langsung tidak mengenali beliau.

Menurutnya, itu sudah menunjukkan bahawa Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan akan menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai PKR.

Ditanya adakah UMNO akan mengambil tindakan ke atas Zaid berhubung kehadirannya pada Kongres PKR, beliau berkata, tidak ada gunanya untuk mengambil tindakan ke atas Zaid.

‘‘Seperti saya katakan, beliau (Zaid) bukan individu penting yang kita perlu bersusah payah memikirkan apa yang perlu kita lakukan ke atas beliau,’’ katanya.

Tiada ulasan: