Ahad, 21 Disember 2008

Wakil media kena halau

MY METRO


JOHOR BAHRU: Lapan petugas media membabitkan wakil stesen televisyen rangkaian Media Prima dan Agensi Berita Basional (Bernama) dihalau dari Masjid Sultan Abu Bakar ketika cuba membuat liputan majlis akad nikah Mawi dan Ekin, semalam.

Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan tanda tanya, bagaimana kawasan awam seperti masjid boleh dieksploitasikan pihak tertentu dan menentukan siapa boleh masuk atau tidak.

Kekecohan berlaku apabila anggota pasukan Rela yang ditugaskan mengawal keselamatan menghalau kakitangan media berkenaan di dalam masjid dengan alasan arahan pihak penganjur.

Apabila wakil media berjumpa wakil penganjur, wakil berkenaan mengatakan mereka tidak boleh membuat liputan dan perlu keluar dari kawasan masjid kerana majlis penikahan itu hak eksklusif saluran Astro Oasis.

Seorang wakil media yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kekeliruan timbul kerana majlis itu diadakan di dalam masjid yang juga kawasan awam, namun terpaksa akur dengan arahan diberi.

“Apabila kami keluar dari bangunan masjid dan meninjau di kawasan perkarangan, kami sekali lagi dihalau, menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Namun, mereka kemudian membenarkan kami berada di kawasan perkarangan kerana ia kawasan awam dan tidak mengganggu urusan penyiaran mereka.

“Kami faham ia majlis mereka, namun mereka juga perlu tahu masjid adalah kawasan awam dan tiada pihak berhak menentukan siapa boleh masuk ke dalam masjid atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata pihaknya menandatangani perjanjian hak eksklusif penyiaran Majlis Pernikahan bersama Mawi yang disiarkan secara langsung.

“Bagaimanapun, kami tetap menjemput wakil stesen televisyen lain membuat liputan di majlis persandingan yang akan diadakan di Kulai, minggu depan dan di Kuala Lumpur kelak,” katanya.

Tiada ulasan: