Isnin, 8 Disember 2008

Tragedi kecai persiapan sambutan Aidiladha

mstar online


KUALA LUMPUR: Mereka mungkin bersiap untuk balik kampung menjelang Hari Raya Aidiladha esok tetapi bagi satu keluarga, mereka hanya bersiap untuk menghabiskan masa di pusat pemindahan.

Bagi Zaliha Ngah, 38, beliau dan keluarganya bercadang pulang ke kampung halaman di Terengganu hari ini tetapi kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, dekat sini, pada pukul 4 pagi tadi telah memaksa mereka membatalkan rancangan mereka.

Walaupun rumahnya tidak terjejas namum anggota penyelamat telah meminta mereka supaya berpindah demi keselamatan mereka.

"Pada mulanya, kami agak keberatan untuk meninggalkan rumah kami tetapi sedar kami tidak boleh memandu kereta kerana kedua-dua jalan keluar telah dihalang," katanya kepada Bernama di pusat pemindahan mangsa tanah runtuh di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, beberapa kilometer dari tapak kejadian.

Suaminya, Mohamad Faiz Matsuno Abdullah, 40, seorang jurutera dari Jepun, berkata kejadian tanah runtuh adalah kedua di kawasan kediamannya sejak tinggal di negara ini 13 tahun lepas.

Katanya, beliau menyaksikan kejadian pertama sekitar tahun 2000 apabila kawasan perumahan itu hanya mempunyai satu jalan akses.

Menurut salah seorang penyelaras pusat pemindahan tersebut, Mohd Mustafa Ghazanfar, 48 buah keluarga mangsa telah berdaftar di pusat itu tetapi hanya 10 orang sahaja yang tinggal di situ.

Beliau percaya ramai mangsa dari keluarga berada itu tinggal di hotel atau bersama kawan dan saudara mara sehingga keadaan reda.

Pusat itu menerima pelbagai bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubatan dan tilam sumbangan ahli politik, agensi kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan.

Kejadian itu setakat ini mengorbankan empat orang dengan 93 diselamatkan dan satu masih hilang.

Tiada ulasan: